Pemenang kempen Gempak Bonanza 2020 anggap rezeki Ramadan
“PERSIAPAN raya tahun ini sederhana sahaja berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tetapi tidak sangka pula terpilih sebagai salah seorang pemenang “Kempen Gempak Bonanza 2020” anjuran Bank Rakyat, kata Abdul Muhaimin Jamaludin, 31, dari Seri Kembangan, Selangor.
Abdul Muhaimin yang merupakan seorang eksekutif di sebuah hotel tempatan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 kerana melanggan Pembiayaan Perumahan-i Bank Rakyat.
“Rezeki ini bukan untuk saya seorang sahaja, tetapi juga rezeki keluarga. Insya-Allah saya akan kongsikan bersama mereka untuk kegunaan perbelanjaan kami sekeluarga lebih-lebih lagi bulan Syawal akan tiba tidak lama lagi,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamed Hisham Haja Kamaludeen, 23, dari Kepong, Kuala Lumpur yang memenangi hadiah wang tunai RM20,000 menerusi langganan pembiayaan Pajak Gadai-i Ar-Rahnu Bank Rakyat berkata, beliau akan menggunakan wang yang dimenanginya untuk membayar hutang dan sewa restoran yang diusahakannya sendiri.
Mohamed Hisham yang mempunyai lapan orang pekerja berkata, buat masa ini beliau hanya membayar separuh daripada gaji bulanan pekerjanya bagi mengurangkan kos perniagaannya.
“Perniagaan restoran saya memang terkesan akibat penularan COVID-19 lebih-lebih lagi dengan arahan PKP sebelum ini yang menyebabkan pelanggan semakin berkurangan.
“Saya berasa amat bersyukur kerana (wang ini) dapat mengurangkan beban saya dari segi kewangan untuk menguruskan restoran pada waktu yang sukar sebegini,” katanya.
Tambahnya, beliau memilih untuk melanggan pembiayaan ini kerana hanya perlu membayar upah simpan untuk mendapatkan wang modal perniagaan.
- Bank Rakyat peruntuk RM300 juta bantu PKS
- Bank Rakyat sumbang 10,000 topeng muka kepada polis Selangor
Manakala Nazrulnaim Abdul Jabar, 33, dari Segamat, Johor pula berkata, pada mulanya beliau tidak percaya apabila dimaklumkan beliau merupakan salah seorang pemenang Gempak Bonza 2020 kerana takut terjebak dengan sindiket penipuan dan terus menghubungi Pusat Panggilan tele-Rakyat.
Beliau berkata wang berjumlah RM20,000 yang dimenanginya kerana melanggan Pembiayaan Mikro-i akan diperuntukkan untuk perbelanjaan perkahwinannya yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.
“Selebihnya saya akan gunakan untuk perniagaan saya. Kalau boleh Bank Rakyat teruskan untuk menganjur kempen sebegini agar ramai lagi pelanggan dapat menerima manfaat,” tambahnya. – SM