Nasional

Pembonceng motosikal tumbuk polis

SEORANG pembonceng motosikal ditahan kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menumbuk pegawai polis, ketika diminta mengemukakan permit perjalanan rentas negeri di Sekatan Jalan Raya (SJR) di KM1, Jalan Endau-Rompin, dekat Mersing, semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata, lelaki berumur 29 tahun dan berasal dari Pahang itu kini direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 332 dan 186 Kanun Keseksaan.

“Kejadian berlaku kira-kira 5 petang semalam, di mana pegawai polis bertugas menahan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dinaiki dua lelaki, di SJR tersebut.

“Semasa pegawai polis meminta kad pengenalan dan permit perjalanan, pembonceng motosikal itu tiba-tiba naik angin lalu mengeluarkan kata-kata kesat dan menumbuk pegawai polis berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berlaku pergelutan semasa pegawai polis hendak menahan pembonceng itu dan menyebabkan menyebabkan pegawai polis lelaki terbabit mengalami luka kecil di bahagian atas mata kanan.

Katanya pembonceng tersebut yang merupakan seorang nelayan, sedang dalam perjalanan dari Mersing ke Pahang.

Rakannya yang menunggang motosikal itu pula tidak terlibat dalam kes tersebut. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button