Ekonomi

Pembinaan pusat data, wilayah awan Google bernilai AS$2 bilion di Malaysia bermula

GOOGLE semalam telah  mengadakan upacara pecah tanah untuk pusat data dan wilayah awan pertama di Malaysia di acara sulungnya, “Mantap Malaysia Bersama AI,” sebuah acara Google untuk Malaysia.

Dengan permulaan pembinaan di Elmina Business Park, Selangor, pelaburan bernilai AS$2 bilion dalam pusat data dan infrastruktur awan ini akan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi AI, serta produk dan perkhidmatan digital lain yang digunakan oleh rakyat dan organisasi di Malaysia pada setiap hari.

Pelaburan ini dianggarkan dapat menyumbang lebih daripada AS$3.2 bilion dari segi impak ekonomi positif dan mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang tahun 2030.

Google juga telah mengumumkan beberapa siri perkongsian kemahiran digital dan kelestarian tempatan yang akan meneruskan kerjasama strategik yang telah ditubuhkan dengan Kerajaan Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan majlis itu bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat.

 “Kami memuji kepantasan Google dalam menubuhkan pusat data dan wilayah awan di Malaysia. Kemudahan bertaraf dunia ini bukan sahaja akan memperkasakan industri pembuatan dan perkhidmatan kami untuk memanfaatkan teknologi canggih seperti AI dan pengkomputeran awan, tetapi juga akan meningkatkan keupayaan industri kami untuk bersaing dalam rantaian nilai global.

“Sejajar dengan matlamat pelepasan sifar bersih negara, kami juga mengalu-alukan kepimpinan Google dalam mengendali operasi cekap tenaga, yang pasti akan menetapkan penanda aras nasional baharu dalam keberkesanan penggunaan tenaga dan air.

Namun, kita perlu menekankan bahawa perjalanan ini adalah untuk rakyat kita. Rakyat Malaysia perlu dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan masa depan, terutamanya apabila lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi dan berfokus AI memasuki negara ini, dan apabila kita meningkatkan kapasiti Malaysia untuk melayani ekonomi digital serantau.

“Komitmen berterusan Google untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja kita melalui program seperti Gemilang dan Future Skills for All juga akan memastikan masa depan digital yang lebih inklusif untuk tenaga kerja Malaysia,” kata Anwar.

Ruth pula berkata: “Hari ini, Google kembali menegaskan sokongannya terhadap kemajuan masa depan digital Malaysia dengan permulaan pembinaan pusat data dan wilayah awan kami di Selangor.

“Pelaburan Google dalam infrastruktur, kemahiran digital, dan kelestarian mewakili kemajuan dalam usaha kami bersama dengan Kerajaan Malaysia untuk mencipta pekerjaan bernilai tinggi dan membawa manfaat AI kepada masyarakat dan syarikat tempatan.

“Bersama-sama, kami akan memperkasakan individu dan perniagaan di Malaysia untuk berinovasi, berkembang, dan memanfaatkan potensi dalam era digital dengan sepenuhnya.

“Selaras dengan tugas ini, Google juga akan teruskan tugasnya untuk memelihara sumber semula jadi dengan bertanggungjawab melalui penambahbaikan kesihatan kawasan tadahan air komuniti dan ekosistem di Malaysia serta mendorong penerimaan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui.”

Membangunkan Infrastruktur Awan Bertaraf Dunia

Infrastruktur awan dan pusat data Google di Malaysia akan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Google Cloud dan inovasi AI, serta perkhidmatan digital popular syarikat—seperti Search, Maps, dan Google Workspace—yang digunakan oleh organisasi dan rakyat di Malaysia, serta berbilion orang di seluruh dunia pada setiap hari.

Upacara pecah tanah hari ini menyusuli pengumuman Google Cloud pada tahun 2022 tentang rancangan untuk melancarkan wilayah awan tempatan bagi memudahkan dan mempercepatkan organisasi sektor awam, perniagaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat permulaan, dan perusahaan besar untuk memanfaatkan sumber pengkomputeran Google Cloud dan AI serta pembelajaran mesin (ML).

Wilayah awan ini akan menyampaikan perkhidmatan berprestasi tinggi dan latensi rendah serta menawarkan pelanggan kawalan utama yang membolehkan mereka memantau dan memastikan piawaian keselamatan, kediaman data, dan pematuhan tertinggi, termasuklah dari segi keperluan penyimpanan data tertentu. 

Pada awal minggu ini, Google Cloud juga mengumumkan kerjasamanya dengan Dagang NeXchange Berhad (DNeX) untuk menawarkan penyelesaian awan berasingan generasi seterusnya di Malaysia, yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan kedaulatan digital organisasi dalam industri yang dikawal selia, seperti perkhidmatan awam, penjagaan kesihatan, dan tenaga.

Menyokong Kelestarian Alam Sekitar

Google merupakan perintis dalam infrastruktur pengkomputeran, dan pusat datanya adalah antara yang tercekap di dunia. Bagi memenuhi sebahagian daripada pendekatan peka iklim terhadap penyejukan pusat data, kemudahan Google di Malaysia akan menggunakan teknologi penyejukan air, selaras dengan kerangka risiko air berasaskan data Google.

Teknologi ini menggunakan kira-kira kurang 10% tenaga berbanding kemudahan yang disejukkan dengan udara, dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 10%.

Sejajar dengan komitmennya terhadap pengurusan air dan menjaga kawasan tadahan air agar kekal sihat dan berkembang di komuniti di mana Google mengendalikan pusat data, Google akan bekerjasama dengan Global Environment Centre (GEC) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk memulihkan Tasik Taman Aman di Selangor dan memperbaiki persekitaran di sekelilingnya.

Ini adalah projek pengurusan air Google yang pertama di Malaysia, dan ia akan memperbaiki kualiti air tasik dan biodiversitinya, lantas meningkatkan nilai rekreasinya untuk masyarakat sekitar.

Projek ini akan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan penyelesaian berasaskan alam semula jadi seperti kawasan tanah basah terapung buatan dan pengenalan semula spesies akuatik tempatan, serta penglibatan dan pendidikan komuniti tempatan dan mempromosikan sistem pengurusan sisa yang mampan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button