Acara

Pembinaan Masjid Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail signifikan pemerintahan 25 tahun Raja Perlis

KANGAR 11 April – Pembinaan Masjid Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di dataran bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis menjadi satu lagi langkah signifikan dalam sejarah pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Majlis pecah tanah bagi pembinaan masjid itu disempurnakan oleh baginda yang berangkat mencemar duli pada Jumaat, sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan baginda.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail. Hadir sama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan harapan agar masjid ini bukan sahaja menjadi rumah ibadah, malah simbol pembangunan rohani dan jasmani umat Islam yang seimbang di Perlis.

“Masjid adalah jantung kepada masyarakat Islam, menjadi tempat sujud, menimba ilmu, dan menyatukan hati-hati dalam kalimah tauhid. Saya berharap masjid ini akan berperanan sebagai pusat dakwah, pendidikan Islam serta pengukuhan perpaduan ummah,” titah baginda.

Masjid ini dirancang untuk menampung keperluan komuniti setempat di Kangar yang semakin berkembang pesat.

Selain menjadi tempat ibadah, masjid ini juga akan menjadi pusat aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan pendidikan, berteraskan pegangan Ahlus Sunnah Waljamaah yang menjadi asas negeri Perlis.

Menurut baginda, masjid ini juga dijangka membawa impak positif kepada sosioekonomi tempatan melalui aktiviti kemasyarakatan yang dirancang secara menyeluruh.

Tambahan pula, ia akan menjadi simbol keilmuan yang menyuburkan kefahaman Islam yang sahih.

Baginda turut menyampaikan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam merangka projek ini termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi-agensi lain.

Baginda menyeru semua pihak, termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat agar berganding bahu dalam menyokong pembinaan masjid ini dari segi kewangan, tenaga dan semangat.

“Masjid ini adalah milik ummah, dan tanggungjawab memakmurkannya juga milik kita bersama,” titah baginda lagi.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menyifatkan pembinaan masjid yang turut bersempena ulang tahun keputeraan baginda ke-82 sebagai salah satu legasi pemerintahan baginda yang menitikberatkan keseimbangan pembangunan jasmani dan rohani.

Seni bina, pengurusan dan pentadbiran masjid ini dijangka menjadi contoh terbaik dalam memartabatkan institusi agama Islam di negeri ini.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button