Pemberian vaksin Covid-19 bermula hujung bulan ini, libatkan tiga fasa
Kerajaan akan memulakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula hujung bulan ini.
Perdan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak 26.5 juta individu akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.
“Terdapat tiga fasa dalam program ini dan dimulaan dengan 500,000 petugas barisan
hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan
kesihatan.
“Fasa pertama program imunisasi ini dijadualkan tamat pada bulan April,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut beliau, fasa kedua pula akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi iaitu warga emas dan golongan rentan iaitu yang berusia 60 tahun ke atas atau mengalami masalah morbiditi seperti
penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi.
Jelasnya, golongan orang kelainan upaya (OKU) turut termasuk di dalam fasa ini.
“Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua
ini, yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos depan.
“Bagi fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas,
yang akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022,” katanya.
Ujarnya, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara.
Tambahnya, peruntukan di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan digunakan oleh Kerajaan untuk mengambil alih secara sementara dewan-dewan bagi tujuan persediaan untuk melaksanakan program tersebut. -SM