Batal ahli Bersatu: Mahkamah benar Muhyiddin batal saman Tun M
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga lagi untuk membatalkan saman Tun Dr Mahathir Mohamad dan lain-lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dr Mahathir sebelum ini menyaman Muhyiddin dan beberapa lagi memohon perisytiharan, antaranya mereka adalah ahli Bersatu yang sah, masih lagi memegang jawatan dalam parti (bagi pemegang jawatan) dan layak untuk bertanding pada pemilihan parti.
Keahlian Dr Mahathir bersama bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa ahli dalam Bersatu tergugur kerana duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.
Yang turut tergugur keahlian adalah bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.
Berikutan itu, pencalonan Dr Mahathir bagi jawatan pengerusi, Mukhriz bagi jawatan timbalan presiden dan Syed Saddiq bagi jawatan Ketua ARMADA untuk pemilihan BERSATU, turut tergugur. – BERNAMA