Pembantu rumah tidak akan dapat gaji minimum RM1,500 – Saravanan
PETALING JAYA: Menteri sumber manusia M Saravanan hari ini mengumumkan gaji minimum RM1,500 tidak terpakai kepada pekerja rumah tangga. Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang sebab khusus untuk pengecualian itu.
Saravanan dalam satu kenyataan menyediakan syarat pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022, yang diwartakan secara rasmi pada 27 April lalu.
Salah satu syarat menyatakan bahawa gaji minimum baharu, yang berkuat kuasa mulai 1 Mei, hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai lima atau lebih pekerja.
Saravanan berkata syarikat yang mempunyai kurang daripada lima pekerja, serta yang menawarkan perkhidmatan profesional, akan diberi kelonggaran sehingga 1 Jan 2023 sebelum perlu melaksanakan peraturan gaji minimum RM1,500 juga.
Beliau berkata kelonggaran itu diberikan bagi membolehkan majikan sedemikian membuat persiapan yang sewajarnya.
Mengenai gaji pekerja domestik, pengumuman hari ini bercanggah dengan kenyataan Saravanan sendiri awal bulan ini apabila beliau berkata bahawa mereka akan dibayar gaji minimum baharu juga.
Pada 13 April, Saravanan dilaporkan berkata bahawa pekerja domestik Indonesia tidak akan dibayar gaji yang lebih rendah daripada gaji minimum yang dikuatkuasakan semasa mereka bekerja di Malaysia.
Beliau merujuk kepada memorandum persefahaman (MoU) antara Putrajaya dan kerajaan Indonesia untuk perlindungan lebih baik terhadap pembantu rumah.
Menurut salinan MoU, majikan perlu membayar pekerja rumah “tidak kurang daripada RM1,500” terus ke dalam akaun bank pekerja selewat-lewatnya pada hari ketujuh bulan berikutnya.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, juga telah menyatakan bahawa pembantu rumah Indonesia perlu mendapat RM1,500 di bawah MoU itu.