
Pembangunan rohaniah antara ukuran kemajuan sebuah negeri
SIMPANG EMPAT 8 April – Negeri yang makmur bukan hanya diukur dari sudut pembangunan fizikal, tetapi juga atas nilai kasih sayang, kepedulian dan sikap cakna terhadap sesama insan.
Pelbagai inisiatif hendaklah dilaksanakan secara berterusan supaya dapat membentuk sebuah Masyarakat yang lebih penyanyang, prihatin dan Bersatu padu dalam menempuh segala cabaran yang mendatang.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Kg. Titi Beratap, Simpang Empat.
Mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Kayuhan amal yang merupakan inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini bertujuan untuk menyalurkan bantuan berbentuk wang tunai dan juga barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negeri ini.
Ketua-ketua jabatan serta agensi negeri dan juga Persekutuan turut terlibat sama dalam aktiviti ini bagi menyelami sendiri dan mencari solusi paling efisyen bagi membantu asnaf-asnaf ini ke arah kehidupan yang lebih baik.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyerahkan sumbangan daripada MAIPs kepada para asnaf yang terpilih iaitu wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah.
Asnaf yang terlibat pada edisi kali ini adalah Umar Ahmad, 82 tahun dari Kampung Titi Beratap, Ibrahim Osman, 66 tahun dari Kampung Behor Mali dan Abdul Talib Man, 77 tahun dari Kampung Permatang Pauh.
GALERI FOTO