Pembangkang junjung titah Agong, akan main peranan semak, imbang
PEMBANGKANG menerima baik peringatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah agar perbezaan pendapat tidak harus diakhiri dengan caci mencaci.
Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangi oleh pemimpin utama PKR, Amanah, DAP, Bersatu, Warisan dan UPKO, mereka berkata akan memainkan peranan semak dan imbang.
Ini demi memastikan dasar seperti Wawasan Kemakmuran Bersama, pelan anti-rasuah, pembangunan prasarana kritikal terutama di Sabah dan Sarawak, isu kemiskinan dan jurang ekonomi di antara wilayah diusahakan sebaik mungkin.
“Kami menyanjung tinggi titah Tuanku yang khuatir dengan budaya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa kerana ia mampu merencat pembangunan serta merosak imej Negara di peringkat antarabangsa.
“Sepertimana kes yang membabitkan Riza Aziz di mana keputusan untuk membebaskannya akan memperlihatkan bahawa kita tidak serius menangani gejala tersebut. Kes ini telah menjejaskan imej Negara di peringkat antarabangsa,” kata para pemimpin pembangkang mereka satu kenyataan.
Pemimpin pembangkang itu juga berharap isu Covid-19 terutamanya berkaitan dengan pakej rangsangan dapat diberi tumpuan khusus dan mendakwa banyak laporan berlakunya ketirisan menyebabkan bantuan ini tidak sampai kepada golongan sasar.
Menurut mereka, isu tersebut amat merisaukan kerana ia membabitkan golongan yang amat memerlukan bantuan pada ketika ini dan kami merasakan ianya perlu dibahaskan seberapa segera.
“Kami turut menerima baik peringatan Tuanku bahawa perbezaan pendapat tidak harus diakhiri dengan caci mencaci, serta keperluan menangani isu polarisasi kaum dan membendung segala bentuk provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang.
“Akhir sekali, Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan, Bersatu, Warisan dan Upko juga turut bersama menyatakan penghargaan yang tidak terhingga buat semua petugas barisan hadapan yang telah mencurahkan bakti demi mempertahan rakyat dan negara dari wabak Covid-19,” kata mereka.
Kenyataan tersebut ditandatangi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden Warisan Datuk Seri dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.-SM