Nasional

Pembaharuan lesen memandu, cukai jalan melalui aplikasi MyJPJ bermula 1 Feb

SELARI dengan langkah menuju era digital sepenuhnya pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) boleh dilaksanakan melalui aplikasi MyJPJ bermula 1 Februari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata,  pelaksanaan urus niaga pembaharuan lesen melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa dengan peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu warganegara.

“Bagi memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara digital, pembaharuan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu Malaysia boleh dilaksanakan melalui aplikasi MyJPJ bermula 1 Feb 2024.

“Pertambahan fungsi baharu ini akan memudahkan orang awam dalam memperbaharui LKM dan LMM secara digital, menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter JPJ,” katanya ketika sidang media selepas melawat JPJ Selangor di sini hari ini.
Katanya, pembaharuan tersebut berdasarkan kepada kesediaan sistem pihaknya dan penerimaan orang awam yang positif.
Loke berkata bagi mengalakkan penggunaan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM), mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan akan menikmati rebat sebanyak RM5.
“Rebat ini akan dinikmati sepanjang 2024 iaitu bermula 1 Feb sehingga 31 Dis 2024. Inisiatif ini terpakai untuk mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan sama ada melalui kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ seperti Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad.
“Inisiatif ini hanyalah untuk warganegara Malaysia dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas permit jangka masa panjang, Kad MyKAS dan Kad MyPR,” katanya.
Beliau berkata setakat 31 Dis lepas, seramai 7.5 juta pengguna yang menggunakan aplikasi MyJPJ dan dijangka jumlah itu akan terus meningkat tahun ini.
“Kerajaan berharap inisiatif yang diumumkan pada hari ini merupakan usaha MOT (Kementerian Pengangkutan) dan JPJ untuk mempermudahkan urusan pemilik LKM dan LMM seterusnya menyokong ke arah perkhidmatan pendigitalan yang terbaik kepada rakyat.
“MOT dan JPJ juga sentiasa menghargai sokongan daripada pelbagai pihak dalam pelaksanaan pendigitalan. Saya menyeru supaya masyarakat bersama-sama kami untuk menjayakan pendigitalan JPJ,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button