PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenaan berangkat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri bersama-sama lebih 1,000 jemaah di Dataran Istiadat, Istana Arau pada pukul 8 pagi semalam.
Turut hadir mengiringi Baginda, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan barisan pembesar serta kepimpinan negeri ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama kariah Kota Raja Arau menunaikan solat sunat itu, dipimpin oleh Imam Besar Negeri, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.
Mufti Negeri, Prof Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin pula menyampaikan khutbah.
Jemaah yang hadir digalakkan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri sebagai langkah proaktif berjaga-jaga dalam menghadapi kes Covid-19 akhir-akhir ini.
Sebelum berangkat meninggalkan dataran, Baginda berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan sekalian yang hadir.
Selepas majlis tersebut, Tuanku Pemangku Raja dalam titah menasihatkan semua bahawa “Dalam kita asyik menjamu selera dengan juadah yang pelbagai, aspek kebersihan makanan perlulah sentiasa diberi perhatian utama bagi menjamin makanan yang disajikan tersebut dalam keadaan baik dan dapat mengelakkan masalah seperti keracunan makanan”. – SM