Negeri

Pemangku Raja Perlis seru pelajar kuasai pelbagai kemahiran

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar para pelajar perlu melengkapkan diri dengan memantapkan kemahiran insaniah dan berasaskan pengetahuan serta teknikal yang diperlukan dalam setiap bidang yang dipilih agar mampu bersaing dalam bidang kerjaya kelak.

Baginda bertitah, perubahan dalam dunia pekerjaan masa kini memerlukan seseorang untuk memiliki kesediaan sebelum meneroka dan menceburi pasaran kerja.

“Hal ini dapat membantu pelajar dalam mendepani fasa peralihan dari alam persekolahan ke Menara gading dan seterusnya ke alam pekerjaan nanti”, titah Tuanku Pemangku Raja lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Anugerah Cemerlang, Anugerah Kepujian Dan Anugerah Khas Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di Hotel Putra Regency, Persiaran Jubli Emas, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Majlis ini telah dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis sebagai penghargaan kepada pelajar-pelajar yang telah mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Cemerlang YTSP Perlis kepada Ang Kai Xuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma yang telah mencapai 9A+, 1A dan 1A- serta Nur Aimi Syafariesya Mohamad Musa juga dari SMK Derma dengan keputusan 6A+ dan 3A bagi SPM 2023.

Penerima Anugerah Kepujian YTSP Perlis pula adalah Kelly Chen Xin Yee dari SMK Derma dengan keputusan 10A+ dan 1A, Mok Qin Shen, dari SMK Dato’ Sheikh Ahmad, 9A+ dan 1A, Nur Alya Sufia Mohd Farizan dari SMK Agama (P) Alawiyah Kangar, 5A+, 5A dan 1A-.

Dua lagi penerima anugerah kepujian adalah Ameerul Naim Kharil Anuar dari SMK Agama Arau, 4A+, 5A dan 3A- serta Cheng Wen An dari SMK Perlis dengan keputusan 7A+ dan 3A.

Setiap penerima menerima plak penghargaan, sijil dan wang tunai sebanyak RM500 bagi anugerah cemerlang dan RM1000 bagi anugerah cemerlang.

Baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Sijil Pelantikan Ahli Lembaga YTSP Perlis kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen pula berkenan menyempurnakan penganugerahan kepada 28 orang penerima Anugerah Khas YTSP Perlis yang menerima sijil dan wang tunai sebanyak RM300.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button