Uncategorized

Pemangku Raja Perlis saran tanah sekitar kediaman dimanfaat sepenuhnya

KANGAR 24 Ogos – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar rakyat negeri Perlis memanfaatkan setiap inci tanah digunakan untuk tanaman sayuran atau buah-buahan bagi kegunaan sendiri atau hasilnya dijual untuk menjana pendapatan.

Penghasilan atau perniagaan seumpama ini boleh dijalankan secara kecil-kecilan terlebih dahulu, dalam masa yang sama juga perlu belajar selok belok perniagaan dan juga pengetahuan dalam pertanian yang secara tidak langsung mampu menyelesaikan tanah terbiar supaya sentiasa terurus dan dijadikan mata pencarian tambahan.

Demikian titah Tuanku Syed Faizudin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs selepas berkenan berangkat mengetahui Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Batu Pahat, dekat Kangar baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda yang turut diiringi oleh anakanda Baginda yang juga Waris Kedua Negeri Perlis iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Hafizuddin Othman dan Timbalan Pengarah Pembangunan Industri & Pengembangan, Jabatan Pertanian Negeri, Mohd Nizam Abdul Aziz.

Kayuhan amal pada kali ini dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perlis.

Pelbagai program telah dirangka melalui Jabatan Pertanian Negeri Perlis menggunakan peruntukan Negeri dan Persekutuan di bawah RMK ke-12 untuk membangunkan industri pertanian bagi memanfaatkan tanah di Negeri Perlis dengan komoditi tanaman sayuran dan buah-buahan.

Antara tanaman yang singkat namun mampu memberi pulangan yang cepat termasuklah tanaman sayuran secara hidroponik (sayuran berdaun), tanaman sayuran secara fertigasi meja (sayuran berdaun), Tanaman sayuran secara fertigasi terbuka (sayuran buah seperti cili, terung dan bendi), tanaman sayuran secara konvensional (sayuran berdaun dan sayuran buah) dan Tanaman fertigasi meja (sayuran berdaun).

Terdapat juga Program Tanaman Buah-Buahan Jangka Pendek dan Tanaman Buah-Buahan Jangka Panjang serta Pembangunan Industri Buah-Buahan yang boleh dipohon melalui jabatan ini iaitu buah betik, melon, tembikai, pisang, mangga Harumanis, tanaman durian dan tanaman nangka.

Program-program ini telah diperluaskan dan dibuka kepada orang ramai termasuk tanah yang dimiliki oleh institusi dan agensi-agensi.

Pada program yang sama Tuanku Pemangku Raja turut berkenan untuk menyampaikan sumbangan kepada asnaf-asnaf yang terpilih pada edisi kali ini iaitu Mansor Din, 72 tahun dari Kampung Baru Jalan Batu, Mohd Shukri Mat Salin, 50 tahun dari Abi Kampung Tengah dan Munah Disa, 76 tahun dari Kampung Abi Pokok Jawi.

Para penerima menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs peduli serta dua kampit beras fidyah setiap seorang.

Tuanku Syed Faizudin Putra turut berkenan untuk mengadakan lawatan ke Taman Buah Buahan Eksotik Perlis yang menyajikan panorama alam yang indah flora dan fauna yang menyenangkan.
Baginda tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri mesin pengupas durian di Dusun Nakawan Perlis dan dipersembah maklumkan penerangan berkenaan proses madu kelulut di Lepak Ngopi de ‘Kelulut’ Sungai Batu Pahat sebagai tanda sokongan kepada kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button