Acara

Pemangku Raja Perlis ingatkan semua pihak supaya menjunjung undang-undang dan perlembagaan

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat untuk menjaga keharmonian, menjunjung Perlembagaan Persekutuan, Undang-undang dan peraturan serta menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Bertitah merasmikan majlis Maal Hijrah
Peringkat Negeri 1446H/2024M, baginda menekankan supaya setiap rakyat Perlis hendaklah berusaha mencapai keharmonian walaupun wujud kepelbagaian latar belakang.

“Sikap bertoleransi, saling memaafkan, sentiasa menepati dan melaksanakan tanggungjawab serta santun hendaklah dibudayakan. Yakinlah, aset utama paling bernilai yang kita ada ialah perpaduan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah setiap warganegara juga perlu menjunjung dan berpegang teguh dengan perlembagaan, undang-undang dan peraturan kerana di situ terletaknya kunci keadilan dan penyatuan selain sumber keharmonian dan kesejahteraan hidup.

“Setiap orang hendaklah mengetahui kebolehfungsian yang ada dalam dirinya dan disesuaikan dengan persekitaran sekeliling dalam usaha memberikan sumbangan dan usaha demi agama, bangsa dan negara serta mengutamakan kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi.

“Nikmat hidup itu pada memberi dan sumbangkanlah sesuatu, walaupun kecil ia
tetap menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan umat seluruhnya,” titah
baginda.

Dalam pada itu Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah agensi-agensi agama negeri perlu terus berusaha mempertingkatkan tahap profesionalisme dan menggiatkan usaha pembangunan kerohanian
masyarakat sama ada berbentuk pengisian ilmu, pengimarahan masjid dan sebarang aktiviti seumpamanya.

Baginda bertitah penghayatan peristiwa hijrah dalam sirah juga perlu diterapkan kepada ummah, bermula dengan pejabat kerajaan, masjid, surau, institusi pengajian tinggi, sekolah dan medium lain termasuk pusat pemulihan supaya penghijrahan minda, adab dan budaya warga Perlis terlaksana secara sekata dan bersepadu.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri kepada Datuk Wan Ariff Wan Hamzah yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Turut berangkat pada majlis di Pusat
Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Chabang itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button