Nasional

Pemangku Raja Perlis bertemu Naib Presiden Republik Namibia

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Republik Namibia, Netumbo Nandi-Ndaithwah bagi membincangkan kerjasama dua hala antara Perlis dan Namibia.

Keberangkatan Baginda yang diiringi sama oleh anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail mengambil sempena lawatan Safar Ilmi MAIPs itu disambut oleh Netumbo Nandi-Ndaithwah bersama-sama Menteri Hal Ehwal Presiden Namibia, Christine Hoebes di pejabat beliau di Dewan Negara, Auasblick, Windhoek.

Turut mengiring ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Hadir sama ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia iaitu Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dan Setiausaha Ketiga, Norazila Roslan.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Pelbagai perkara berkaitan hubungan dua hala Perlis dan Namibia diperbincangkan, termasuklah hasrat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk memainkan peranannya secara aktif melalui kerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi berkaitannya di Namibia.

Dalam pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang DiPertua MAIPs bertitah bahawa MAIPs telah mensasarkan halatuju perkongsian bersama dalam pelbagai bidang pengurusan hal ehwal Islam seperti pengurusan halal, pendidikan termasuk aktiviti kebajikan dan kemanusiaan.

“Tiada pihak yang rugi sekiranya berkongsi ilmu dan pengalaman, sebaiknya ia akan mempertingkatkan lagi tahap kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan golongan sasar,” titah Tuanku Pemangku Raja.

Netumbo Nandi-Ndaithwah dalam ucapan aluannya menjelaskan bahawa pihak Namibia sedang memberikan fokus dalam bidang pendidikan, pelancongan, hospitaliti, pengurusan sumber minyak dan tenaga serta menawarkan perkongsian pengalaman serta pelaburan Malaysia dalam pengurusan penerbangan komersil tempatan.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menawarkan peluang pengajian kepada 15 orang pelajar Muslim daripada Namibia bagi melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) selain berharap agar dapat melaksanakan pengkongsian berkaitan pengurusan halal kepada pihak Namibia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button