Pemain industri pelancongan perlu jayakan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 – Raja Muda
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap pemain industri pelancongan di negeri ini haruslah memainkan peranan penting bersama-sama menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 (TMP2024-2025).
Baginda bertitah, pemain industri pelancongan di Perlis perlu bijak dan kreatif untuk mengambil kesempatan dalam menarik minat lebih ramai pelancong untuk memasuki dan menginap di negeri ini.
Titah Baginda, jabatan dan agensi berkaitan juga wajar mempertimbangkan untuk membantu pemain industri di negeri ini yang komited dan berpotensi untuk lebih berjaya dalam bidang masing-masing melalui pemberian Geran dan khidmat nasihat yang berupaya untuk memperkasakan lagi aktiviti ekonomi dan keusahawan masyarakat serta membantu meningkatkan lagi pendapatan usahawan.
Tambah Baginda, peranan usahawan di dalam sesebuah komuniti perlu dititikberatkan kerana usahawan merupakan pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
“Kerjasama yang kuat di antara pihak usahawan dan agensi-agensi amatlah penting bagi memastikan perusahaan mereka mempunyai potensi yang kuat untuk terus berkembang maju,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan ‘
Destinasi Agro Pelancongan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah 1 Perlis di Cabinstay @ Orang-Orang Village, Kampung Bakong, Arau.
Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian), Zulkifli Romli, Pengurus Wilayah 1 MADA Perlis, Zairizal Zainon dan Pemilik Orang-Orang Village, Mohd Azman Ali.
Majlis tersebut dianjurkan oleh MADA.
Orang-Orang Village yang berkonsepkan Cabinstay ini merupakan salah satu premis usahawan bimbingan MADA yang telah mendapat bantuan Geran Agropelancongan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui MADA.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan agar jabatan dan agensi berkenaan dapat terus memberikan bantuan seperti geran kepada pengusaha-pengusaha pelancongan di negeri ini.
“Usaha ini bukan sahaja dapat merancakkan lagi ekonomi rakyat Perlis, malah akan berjaya menampung kehadiran para pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang akan datang tidak lama lagi,” titah Baginda. – SM