Alam Sekitar

Pelbagai Pihak Terlibat Sama Bangunkan Sosioekonomi Rakyat Bagi Pemerkasaan Komuniti

Sejak pandemik bermula, pelbagai pihak terutamanya NGO, GLC, perusahaan sosial dan komuniti telah memainkan peranan yang berkesan sebagai ejen di lapangan bagi menyokong usaha Kerajaan membangunkan sosioekonomi rakyat.

Kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Kerajaan bersama-sama Yayasan Hasanah telah membiayai pelbagai inisiatif untuk golongan rentan, tahun ini.

“Satu contoh penerima Geran Khas Hasanah ialah Earth Heir iaitu sebuah perusahaan sosial yang mempromosi barang-barang kraf mesra alam yang dihasilkan oleh komuniti tempatan.

“Saudari Sasibai Kimis, pengasas Earth Heir bercita-cita besar untuk membantu penghasil kraf ini mengembangkan pendapatan mereka secara mampan.

“Earth Heir dan suku kaum Dusun Minokok di Sabah telah bekerjasama untuk menghasilkan beg yang saya gunakan untuk membawa ucapan Bajet 2022 hari ini,” katanya.

Bagi tahun hadapan, sejumlah 100 juta ringgit akan terus disediakan secara geran padanan dengan sumbangan Yayasan milik GLC kepada NGO untuk membiayai pelbagai program sosial membantu golongan rentan dari segi pendidikan, penjanaan pendapatan dan kesihatan mental.

Pada masa yang sama, bagi memastikan perusahaan sosial seperti Earth Heir dapat terus berkembang dan membantu golongan sasaran mereka, Kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian cukai ke atas semua pendapatan Perusahaan Sosial sehingga 3 tahun taksiran berdasarkan kepada tempoh sah laku akreditasi yang diluluskan oleh Jawatankuasa Bersama Akreditasi oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Yayasan Hasanah.

“Program Perolehan Impak Sosial Kerajaan yang telah diperkenalkan secara rintis sebelum ini bertujuan meningkatkan peluang perusahaan sosial untuk menyertai perolehan Kerajaan.

“Mulai tahun hadapan, inisiatif ini akan diperluaskan pelaksanaannya kepada semua Kementerian. Di samping itu, Kerajaan juga memperuntukkan 14 juta ringgit kepada United Nation Development Program sebagai menyokong usaha mereka menjalankan pelbagai inisiatif antaranya mewujudkan aktiviti pelancongan selamat dan aktiviti restorasi di Mersing, Johor dan Manjung, Perak,” katanya.

Akhir sekali, sebagai galakan kepada penjawat awam untuk turut serta menyumbang tenaga di dalam khidmat masyarakat, cuti tanpa rekod maksimum 5 hari setahun dibenarkan dengan pertubuhan yang diluluskan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button