Hiburan

Pelakon Sitkom Keluarga Iskandar, Mohd. Sobri terperangkap, demam

PELAKON sitkom Keluarga Iskandar, Mohd. Sobri Anuar Tarmizi terperangkap di bangunan Selangor Mansion, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan.

Mohd. Sobri antara yang dilaporkan oleh ASTRO Awani, terperangkap di dalam bangunan tersebut.

Kata Mohd. Sobri, dia terpaksa berhadapan dengan keadaan sukar dan agak malang bagi dirinya apabila dia mengalami demam sejak Isnin lalu.

Selain itu, Mohd. Sobri memberitahu, adalah sukar baginya untuk mendapatkan bekalan makanan pada ketika ini.

Persoalan timbul, bagaimana dan mengapa pelakon itu boleh berada di bangunan tersebut?

“Saya ke sini semalam (Ahad) kerana ada tugasan sikit yang perlu dilaksanakan.

“Namun ketika hendak turun dan keluar dari bangunan ini pada waktu Subuh, saya dihalang keluar dari bangunan berkenaan kerana PKPD telah dilaksanakan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd. Sobri terpaksa berkurung dalam bilik sehingga kini dan tidak dapat ke mana-mana.

“Lebih malang lagi, saya turut mengalami demam sejak malam tadi (Isnin) dan saya amat berharap agar pasukan perubatan dapat datang segera untuk membolehkan saya diperiksa,” katanya ketika dihubungi ASTRO Awani.

Tambah Mohd Sobri lagi, keadaan menjadi semakin rumit kerana dia tidak membuat persediaan lebih awal iaitu baik dari segi penyediaan makanan mahupun ubat-ubatan.

“Ketika ini bekalan makanan memang tidak ada langsung ataupun ubat-ubatan yang saya perlukan. Keadaan agak sukar ketika ini untuk saya jelaskan.

“Apapun saya faham kesibukan barisan hadapan (frontliners) negara untuk menyusun bantuan ketika ini dan Insya-Allah, saya akan sabar menunggu. Saya harap ia boleh dipercepatkan.”

“Saya bertambah risau sebab demam dan harapan saya dapatlah kiranya pasukan perubatan membuat pemeriksaan kesihatan ke atas saya dengan segera,” katanya. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button