Kemalangan

Pelajar UiTM Lendu maut kemalangan motosikal, lori

Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Lendu maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Industri Kelemak, Alor Gajah, Melaka dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengahari itu mangsa yang maut dikenali sebagai Alif Syakirin Mohd Balkhishah, 22, dari Seri Kembangan, Selangor.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supretendan Arshad Abu berkata, polis trafik menerima panggilan dari orang awam mengenai kemalangan sebuah motosikal dan lori di Jalan Industri Kelemak.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis Isuzu berwarna hijau dengan muatan sarung tangan datang dari Kilang TSL Latex Gloves, Kelemak menghala ke arah Lendu.

“Ketika lori berkenaan tiba di Jalan Industri 23 Kelemak telah membelok ke kanan untuk keluar simpang.

“Manakala motosikal jenis Kawasaki EX-250J datang dari arah sebelah kanan yang ditunggang mangsa terjatuh sebelum melanggar lori tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata, akibat kemalangan itu mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke hospital Alor Gajah untuk proses dibedah siasat.

Katanya, pemandu lori dan kelendan yang tidak mengalami sebarang kecederaan diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, kenderaan terlibat telah ditahan untuk dibawa untuk pemeriksaan Puspakom.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button