Nasional

Pelajar perlu ada nilai murni

PELAJAR baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disaran mengamalkan Budaya UPSI “BAIKK” bagi memantapkan penampilan mereka kata Naib Canselor, Prof Datik Dr Md Amin Md Taff

Jelasnya, setiap pelajar perlu mengamalkan Bangga (B), Adab (A), Ilmu (I), Keluarga (K) dan Kreativiti dan Inovasi (K).

“Budaya BAIKK perlu difahami dan dihayati agar dapat mencorakkan personaliti pelajar supaya cemerlang bukan sahaja dalam akademik malahan sahsiah” katanya ketika berucap semasa Majlis Ikrar pelajar baharu ambilan Mac sesi 2021/2022 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Pembacaan ikrar yang diketuai Andi Hussaini Mapanyukri (kanan).

Mengharungi cabaran kerjaya masa kini, katanya, pelajar perlu memiliki nilai-nilai murni seperti berasa bangga sebagai pelajar UPSI supaya dapat mencipta kecemerlangan diri sebelum bergraduat.

“Pelajar juga tidak harus melupakan harapan keluarga dari pelbagai latar belakang dan ia akan mendorong untuk tekun dalam mengajar ilmu di universiti,” katanya.

Katanya, pelajar juga perlu aktif berkreatif dan inovatif hasil bagi memanfaatkan pembelajaran bersama akademia UPSI yang kebanyakan adalah pakar-pakar dalam program pengajian.

Seramai 665 pelajar baharu  selesai menjalani program orientasi yang melibatkan tujuh buah fakulti iaitu Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Teknikal dan Vokasional, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan dan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata selain daripada pelajar baharu, mereka juga menerima kehadiran pelajar semester dua yang menyertai pasukan beruniform iaitu Siswa Siwi Pertahanan Awam (SISPA) dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) seramai 423 orang.

 

Dr Norkhalid (tengah) membuat tinjauan di kaunter pendaftaran di Kolej Ungku Omar.

Md Amin berkata walaupun Program Orientasi kali ini disambut dalam suasana yang sederhana dengan pematuhan Standard Operation Procedure (SOP), namun ia tidak menjadi halangan untuk pelajar merasai kemeriahan Program Orientasi Pelajar setelah sekian lama dijalankan secara dalam talian.

Beliau yang turut menyantuni seorang pelajar Orang kurang Upaya (OKU) yang berasal dari Melaka, Faizatul Iwani Mohamad Alwi memberi kata-kata semangat agar dapat meneruskan pembelajaran di universiti dengan baik sehingga tamat pengajian.

Justeru, Norkhalid berharap semua pelajar baharu memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh universiti dalam pembelajaran untuk mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan Kaunseling dari Fakulti Pembangunan Manusia, Andi Hussaini Mapanyukri mewakili pelajar baharu membaca ikrar di hadapan pengurusan tertinggi universiti.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button