Pelajar maut motosikal bertembung lawan arus
Seorang pelajar sekolah maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan di Jalan Industri Kilang Berapi, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Muhammad Aniq Asyraf Abu Bakar, 17, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, seorang lagi penunggang, A. Vijaikumar, 24, pula mengalami kecederaan parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Melaka.
“Kemalangan itu dipercayai berpunca apabila pelajar Tingkatan 5 terbabit dipercayai menunggang motosikal secara melawan arus dari arah Kampung Kilang Berapi menuju ke arah kawasan Industri Kilang Berapi.
“Bagaimanapun, ketika sampai di tempat kejadian, terdapat sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggang juruteknik berkenaan dari arah bertentangan menyebabkannya kedua-dua motosikal bertembung,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Jamil berkata, rempuhan kuat itu mengakibatkan remaja terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
Katanya, siasatan mendapati laluan tersebut bukanlah laluan sibuk dan sering digunakan oleh penunggang motosikal untuk bersantai-santai.
Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SM