Pendidikan

Pelajar jangan sia-siakan kemahiran automotif

ADALAH sesuatu yang sia-sia apabila sudah mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu tetapi dilepaskan kerana tertarik dengan pendapatan yang ditawarkan melalui kerja-kerja e-hailing.

Kebimbangan itu tercetus apabila terdapat pelajar dalam bidang automotif yang mensia-siakan bakat kerana memilih jalan singkat untuk mendapat pendapatan lebih lumayan berbanding menjadi mekanik di bengkel.

Timbalan Presiden Persatuan Usahawan Pembangunan Automotif Wanita Nazatul Shima, 44 berkata, hanya tiga hingga empat tahun untuk menjadi pekerja berkemahiran tinggi dalam bidang automotif.

Nazatul Shima

“Bila pekerja masuk, dia akan diberikan tiga hingga enam bulan percubaan. Selepas itu selalunya mengambil masa tiga tahun untuk diiktiraf sebagai pekerja mahir.

“Dalam tiga tahun itu macam di bengkel saya dia boleh jadi mekanik junior dan tahun keempat dia sudah boleh jadi mekanik kanan.

“Masa dia jadi mekanik kanan kadang-kala dia sudah memperoleh ilmu keusahawanan, mungkin nak balik buka bengkel sendiri. Mereka sudah tahu harga alat ganti, sudah tahu mahu berbual dengan pelanggan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Persatuan Usahawan Pembangunan Automotif Wanita mengadakan perbincangan dengan Kolej Komuniti Kelana Jaya yang berhasrat untuk menempatkan kira-kira 80 pelajar di bengkel-bengkel yang dimiliki ahil persatuan seramai 60 orang.

Nazatul yang memiliki bengkel kenderaan FTuned Suspension Sdn. Bhd dan mempunyai selama 10 tahun pengalaman dalam bidang automotif berkata, lepasan sijil yang mempunyai kemahiran automotif tidak sepatutnya berputus asa dalam indsutri tersebut.

Ini kerana dalam tempoh tiga hingga empat tahun pendapatan mereka meningkat selaras kemahiran yang mereka perolehi.

“Kita lebih ajar mereka bagaimana hendak gunakan kemahiran yang ada untuk bekerja dalam satu kumpulan. Kita juga titipkan pengetahuan keusahawanan.

“Sebab walaupun anda ada kemahiran teknikal, satu hari nanti bila nak buka bengkel, anda perlu tahu ada kemahiran pengurusan, berkomunikasi dengan pelanggan dan sebagainya,” katanya.

Ahmad Hazra (kiri) dan Tamil Chelvi.

Sementara itu Ketua Program Sijil Service Kenderaan Ringan Kolej Komuniti Kelana Jaya, Ahmad Hazra, 35 berharap pelajar yang menjalani latihan praktikal di bengkel-bengkel milik Persatuan Usahawan Pembangunan Automotif Wanita akan memperoleh ilmu automotif yang lebih luas.

“Di kolej, kita lebih kepada kenderaan ringan. Melibatkan apa yang ada pada kenderaan, seperti suspension, tayar, enjin dan ilmu automotif baharu seperti hibrid,” katanya.

Pensyarah kolej itu, Tamil Chelvi, 37 pula berkata, kadar kebolehpasaran graduan adalah lebih daripada 95 peratus dan pelajar ditempatkan di bengkel dan premis automotif.

Melalui latihan amali pelajar turut mempelajari kemahiran lain termasuk kemahiran pengurusan dan keusahawanan.

“Pelajar kita sudah tentu telah mempelajari teori dan praktikal. Jadi apa yang ada dalam bengkel semua itu telah mereka pelajari cuma bila ditempatkan di industri mungkin ada perubahan dari segi teknologi dan peralatan yang digunakan.

“Kita harap pelajar ini boleh menyesuaikan diri. Dia boleh belajar dan mengenali teknologi baru sebab teknologi berubah sangat cepat,” katanya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button