
Pelajar Asrama Hilang, Keluarga Mencari Petunjuk
KUALA TERENGGANU 8 April – Orang ramai diminta membantu mengesan seorang pelajar SM Imtiaz Kuala Terengganu, Muna Qaisara Muhammad Budiman, 15 tahun, yang dilaporkan hilang pada petang Sabtu lalu (5 April) selepas keluar dari kawasan asrama sekolah tersebut.
Keluarga Muna Qaisara meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan anak perempuan mereka dan merayu kepada orang ramai yang prihatin untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan keberadaan pelajar itu.
Ibu pelajar, Juliana Johari, menyatakan bahawa anak mereka masih belum ditemui, dan meluahkan kekesalan terhadap penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial yang mendakwa Muna Qaisara telah dijumpai dan berada dalam keadaan selamat.
Difahamkan, Muna Qaisara kali terakhir dilihat antara jam 5.00 petang hingga 7.30 malam pada 5 April, mengenakan pakaian prep malam berwarna maroon serta tudung berwarna krim ketika keluar dari perkarangan sekolah.
“Kami berharap jika ada sesiapa yang melalui kawasan berhampiran SM Imtiaz Kuala Terengganu dan mempunyai rakaman atau terlihat pergerakan Muna, agar dapat menghubungi kami segera,” kata Juliana lagi.
Keluarga Muna Qaisara turut memohon kerjasama orang ramai untuk berkongsi sebarang maklumat sekiranya mengetahui lokasi pelajar tersebut. Orang ramai boleh menghubungi ibu atau bapa Muna di nombor berikut:
Puan Juliana (Ibu): 013-571 4157
Encik Budiman (Ayah): 013-309 2947
Ibu bapa pelajar itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu, dan berharap agar Muna Qaisara dapat ditemui serta kembali dengan selamat ke pangkuan keluarga.