Peladangnita Bintong gotong-royong masak bubur lambuk
TRADISI dalam bulan Ramadan, sana sini berkumpul beramai-ramai sambil bergotong-royong memasak bubur lambuk.
Masing-masing menyediakannya dengan resipi tersendiri supaya bubur lambuk yang dihasilkan itu nanti rasanya enak dan menyelerakan.
Begitu juga dengan Kumpulan Peladangnita Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bintong, Kangar, Perlis yang diwakili oleh 14 unit kawasan, menggembeleng tenaga bergotong-royong membuat bubur lambuk.
Pengerusinya, Sofiah Hamid, 56, berkata, program membuat bubur lambuk ini telah menjadi acara tahunan di bulan Ramadan sejak dua tahun lalu.
“Ia berkonsepkan sedekah di mana dari bahan-bahan untuk membuatnya sehinggalah di peringkat pengagihan bubur lambuk,” katanya kepada wartawan SUARA MERDEKA.
Beliau berkata, segala bahan untuk membuat bubur lambuk dari beras, daging, santan, bawang dan pebagai lagi semuanya dibawa oleh ahli yang menyertai program ini.
“Tidak cukup dengan itu, mereka juga membawa peralatan memasak sendiri bagi kemudahan membuat bubur lambuk,” katanya.
Katanya lagi, gotong-royong membuat bubur lambuk itu diadakan di pekarangan PPK Bintong.
Sementara itu, Setiausaha Peladangnita PPK Bintong, Rosmuna Ibrahim, 57, berkata, cuaca panas tidak menghalang ahli kumpulan ini berkumpul untuk bergotong-royong.
Beliau berkata, masing-masing seronok dapat bekerjasama membuat bubur lambuk untuk disedekah di unit masing-masing.
Ketua Unit Tebing Tinggi Peladangnita PPK Bintong, Rosni Salim, 69 atau lebih dikenali “Kak Ah” pula berkata, gabungan orang berpengalaman dalam menyediakan bubur lambuk itu penting bagi menghasilkan bubur lambuk yang enak. – SM
BACA Netizen bantu tambah api gambar Syed Saddiq kacau bubur lambuk