Pelaburan perlu dipantau oleh jawatankuasa khas – Johari
BEKAS menteri kewangan kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memantau pelaburan yang masuk ke negara ini.
Johari berkata, penting untuk memantau perkembangan memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan kumpulan asing.
“MoU ini mesti dipantau supaya ada tindakan susulan. Kita perlu tahu sekiranya bakal pelabur menghadapi sebarang masalah, jangan biarkan sahaja.
“Mesti ada pemantauan yang boleh dilakukan melalui MITI. Mereka boleh membuat laporan berkala tentang sebab pelaburan berjaya, mengapa tidak, mengapa penangguhan adalah wajar.”
Beliau berkata laporan kemajuan pelaburan itu juga perlu dibentangkan kepada kabinet supaya penyelesaian kepada masalah melibatkan agensi kerajaan, jabatan dan kementerian dapat ditemui.
“Ini akan menggalakkan keyakinan pelabur,” katanya.
Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia telah memperoleh komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion daripada China.
Ini adalah hasil daripada pemeteraian 19 MoU antara syarikat Malaysia dan China, serta pertemuan meja bulat dengan pemimpin perniagaan semasa lawatannya ke China. -SM