RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, negeri ini berharap supaya sebarang pelaburan baru melibatkan industri dolomit yang bakal masuk akan memenuhi keseluruhan rantaian ekonomi dan tidak hanya memfokuskan pada perlombongan bahan mentah sahaja.
Ini adalah kerana Perlis mempunyai sumber mineral dolomit yang tinggi.
Lot-lot industri juga telah dibuka di Lembah Chuping untuk diterokai bagi pembangunan kilang pembuatan produk hiliran dolomit berkenaan.
Demikian titah Raja Muda Perlis pada majlis ‘Malam Perlis 2023’ anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) di Dewan Tun Dr Ismail, World Trade Centre, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Yang DiPertua Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL), Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman serta barisan kepimpinan persatuan tersebut.
Hadir sama, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
Majlis dwi tahunan yang bertemakan baju batik ini telah dihadiri oleh 470 tetamu.
Tujuan majlis ini adalah bagi meraikan anak-anak kelahiran Perlis yang berhijrah dan menetap di sekitar Lembah Klang serta beberapa negeri berdekatan yang lain.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan terima kasih kepada PPKL atas penganjuran Malam Perlis 2023 pada kali ini.
Raja Muda berharap agar nama baik Perlis akan sentiasa dijaga dengan sebaiknya oleh setiap warga PPKL dan terus membawa nama negeri ini ke persada yang lebih tinggi. – SM