Seorang pekerja penghantaran didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini, atas kesalahan memiliki pistol tiruan dan vest berlambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa kebenaran sah, awal bulan ini.
Hukuman diputuskan Majistret Mazana Sinin, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Muhammad Syaffiq Abusah, 26, dan mensabitkannya dengan pertuduhan serta
menimbangkan hujah pendakwaan serta fakta kes.
Dalam penghakimannya itu beliau memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk senjata tiruan berbentuk pistol berwarna hitam di bengkel Man Aircond Car Service beralamat Batu
4 Taman Mayfair, Klebang Besar, di sini, pada 9 Disember lalu, kira-kira pukul 6.00 petang.
Dia dituduh mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, sabit kesalahan bolehdipenjara maksimum setahun atau dengan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.
Pertuduhan kedua, dia tanpa kebenaran yang sah didapati memiliki peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis iaitu sehelai vest berlambang PDRM di sebuah rumah di Jalan Cahaya 3 Taman Tanjung Minyak Perdana pada tarikh sama, kira-kira pukul 11.50 malam.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan Seksyen 89(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94 akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum
RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian memohon hukuman setimpal dikenakan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan kerana menanggung ibu serta itu adalah kesalahan pertamanya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mazana mengenakan hukuman denda RM3,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan denda RM500 atau sebulan penjara bagi pertuduhan kedua. – SM