Mahkamahpilihan

Pekerja kilang berdepan hukuman mati

Seorang pekerja kilang berdepan hukuman mati mengikut Seksyen 302 selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pesara, Februari lalu.

Tertuduh Syafiq Raj Kalai Selvan, 27, hanya menunduk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang telah dituduh didapati telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki Sa’adon Sahat, 57.

Kesalahan itu dilakukan di belakang bangunan premis Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim, Melaka Tengah antara pukul 2.44 pagi hingga 3.10 pagi, 27 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Timbalan Pendakwa Raya J Banusha pada prosiding itu tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana pertuduhan di bawah Seksyen 302 manakala tertuduh diwakili peguam, R Ryshinah.

Majistret Nabilah kemudian menetapkan 22 Jun ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Akhbar pada 1 Mac lalu, melaporkan mangsa meninggal dunia di Hospital Melaka pada pukul 2.04 petang sehari sebelumnya selepas kira-kira 11 jam bertarung nyawa akibat dirempuh seorang pemandu dipercayai mabuk dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi 27 Februari lalu.

Lelaki itu yang memandu kereta jenis Perodua Axia dikatakan bertindak demikian selepas berang apabila mangsa menegurnya dan rakannya kerana memasang muzik yang kuat dari kenderaannya.

Pada 27 Mac lalu, seorang tukang gunting rambut warga India, S Logamurugan, 27, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan menyebabkan kematian Sa’adon. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button