SELAMA dua hari berturut-laluan masuk ke Arked Niaga, Padang Besar Ware Mart dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar dilaporkan mengalami kesesakan yang luar biasa.
Ini berikutan orang ramai mengambil kesempatan untuk membeli-belah dan masuk ke Thailand sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina menerusi laluan ini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, semalam paling teruk kesesakan jalan raya iaitu selama enam jam bermula pukul 10 pagi sehingga empat petang.
Mohd Shokri Abdullah berkata, dianggarkan kira-kira 3,000 kenderaan memenuhi dua kawasan tumpuan membeli-belah di pekan Padang Besar.
Bagaimanapun katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Padang Besar telah melaksanakan tugas dengan baik untuk mengawal lalu lintas.
“Aliran trafik terkawal dan ia dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Katanya, juga tiada berlaku sebarang insiden yang tidak diingini berlaku di sepanjang tempoh kesesakan yang berlaku.
Bagaimanapun dalam tinjauan Suara Merdeka hari ini mendapati masih berlaku kesesakan tetapi tidak seteruk semalam.
Akibatnya pengunjung terpaksa parkir kenderaan masing-masing di jalan utama iaitu di luar kawasan membeli belah.
Para pengunjung dilihat tetap bersemangat sekalipun terpaksa berjalan lebih kurang 300 meter untuk membeli belah di dua tempat tumpuan ini.
Rata-rata adalah pengunjung luar yang datang bercuti ke Perlis dan pastinya tidak akan melepaskan peluang berkunjung di tempat membeli belah yang sangat terkenal ini.
Difahamkan di dua kawasan perniagaan ini juga sesak dan padat dengan pengunjung yang dilihat bagai lautan manusia. – SM