Pejabat MB nafi perintah berkurung di Hilir Perak
KERAJAAN negeri menafikan mengenai mesej palsu yang tular dalam media sosial kononnya perintah berkurung dilaksanakan di Daerah Hilir Perak ekoran wabak Covid-19.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar hari ini, kandungan mesej-mesej yang tersebar dalam aplikasi Whatsapp konon ada perintah berkurung sejak semalam mengenai perkara itu tidak benar.
“Pejabat Menteri Besar Perak menafikan tentang berita palsu yang tular dalam aplikasi Whatsapp mengenai Perintah Berkurung atau lockdown di Daerah Hilir Perak.
“Pejabat Menteri Besar Perak menafikan kandungan mesej-mesej yang tersebar sejak semalam.
“Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak sebarang maklumat yang diterima dengan pihak berkuasa dan tidak menyebarkan berita palsu dan tidak sahih,” kata kenyataan tersebut seperti yang dipetik dari Perak Gazette
BACA:
Sementara itu Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) mengambil beberapa inisiatif bagi membantu meringankan beban golongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin berkata, antara inisiatif pihaknya ialah menyumbangkan 2,000 kotak makanan kepada golongan yang memerlukan dengan kerjasama Persatuan Pembangunan Manitha yang mengedarkan kotak makanan tersebut kepada penduduk di sekitar bandaraya Ipoh.
Selain itu, katanya, MB Inc. juga menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan Covid-19 antaranya anggota polis dengan menyumbangkan peralatan elektrik kepada beberapa buah balai polis.
Beliau berkata, MB Inc. turut menjalankan perkhidmatan percuma operasi nyahkuman dan sanitasi melibatkan 21 buah masjid dan balai polis di beberapa daerah seperti Batang Padang, Kampar, Kinta dan Larut Matang Selama dari 20 hingga 24 Mac.
“Sebagai sebuah entiti korporat GLC di bawah kerajaan negeri Perak, MB Inc. sedaya upaya membantu golongan yang terkesan dengan pelaksanaan PKP melalui program CSR di negeri Perak.
“Antara inisiatif lain yang diusahakan oleh MB Inc. ialah menyalurkan sumbangan sejumlah RM200,000 kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.
“MB Inc. juga turut memberi perhatian kepada golongan orang asal dan bantuan juga akan dihulurkan kepada mereka,” katanya. – SM