RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah supaya para Pegawai Muda Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) untuk menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan negara.
Baginda bertitah, mereka juga perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutama berhubung perihal komuniti setempat agar sebarang keadaan yang tidak diingini dapat dielakkan.
Raja Muda Perlis yang juga Brigedier Jeneral Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam Sempena Pentauliahan Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Naib Canselor UniMAP, Leftenan Kolonel Prof Ts Dr Zaliman Sauli selaku Komandan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UniMAP Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan dan Timbalan Komandan PALAPES UniMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Turut hadir, Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.
Majlis berkenaan bagi meraikan Pegawai-Pegawai Muda yang telah ditauliahkan pada Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES DARAT Universiti Awam Ke-39 Zon Utara kepada Pegawai Muda PALAPES UniMAP Batch 13 yang telah diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 7 Februari lalu.
Juga sempena Istiadat Pentaulihan DiRaja Kadet PALAPES Universiti Awam Ke-40 kepada Pegawai Muda PALAPES DARAT UniMAP Batch 14 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 10 September lalu.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP dalam titah mengingatkan Pegawai Muda juga hendaklah sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi bencana alam.
Titah Baginda, ini berikutan daripada apa yang diramalkan pada penghujung tahun akan berlaku banjir.
“Semuanya bergantung kepada arahan sama ada daripada pihak institusi mahupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri, para Pegawai Muda harus sentiasa bersedia untuk menabur khidmat dan bakti dalam menjamin keselamatan komuniti setempat,” titah Baginda.
Tambah Raja Muda lagi, mereka hendaklah menjaga keharmonian hidup bermasyarakat walau di mana anda berada khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini, demi menjaga nama baik universiti dan juga PALAPES agar kedaulatan negara sentiasa terjaga. – SM