Agama

Pegangan agama yang teguh bentuk pemikiran, jalani kehidupan – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Setiap pelajar perlu menerapkan dan menanamkan elemen kepercayaan atau pegangan agama yang teguh dalam diri. Pegangan agama yang teguh memainkan peranan yang besar dalam membentuk pemikiran dan pandangan dalam menjalani kehidupan’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, ‘Individu yang berjaya mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Disiplin juga dapat membentuk nilai-nilai positif yang lain seperti, berintegriti, menepati masa, bertanggungjawab, dan bertawakal setelah berusaha’.

“Pelajar juga perlu melengkapkan diri bagi kemenjadian modal insan yang berkualiti dan pembinaan jati diri yang mulia. Hal ini dapat melahirkan individu yang berketerampilan, berkepimpinan, dan menghormati antara satu sama lain khususnya orang dewasa”, titah Baginda lagi.

Demikitan titah Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang, Simpang Empat yang melibatkan seramai 328 orang murid baru/baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengetua SMK Sanglang, Sharudin Mahmud.

Turut hadir sama ialah Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, dan Penyelaras dari YTSP Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

SMK Sanglang telah memperoleh pencapaian bertambah baik dalam SPM 2022 dengan GPS 5.68 berbanding tahun 2021 dengan GPS 6.32 yang menunjukkan peningkatan sebanyak 0.64%. Sementara itu, peratus layak sijil meningkat daripada 79.03% kepada 88.06% dan pelajar terbaik mendapat 2 A+, 3 A, 2 B dan 2 C.

Bagi bidang kokurikulum pula, SMK Sanglang telah berjaya menjadi Johan Pertandingan Video Syair dan Kreatif Sajak Perkampungan Bahasa Melayu 2023 Peringkat Kebangsaan, Johan Dendangan Syair Menengah Atas MBMMBI Perlis dan Naib Johan Pertandingan Drone U Crock 2023.

Manakala bagi Kejohanan Catur MSSPs membawa pulang Pingat Gangsa, Tempat Ketiga Pertandingan Liittle League, Naib Johan Berkumpulan Lelaki dan Perempuan Kejohanan Woodball MSSPs 2023 dan Pingat Emas Melontar Peluru Kejohanan Olahraga MSSPs 2023.

Murid-murid PPKI juga turut mengharumkan nama sekolah dengan pencapaian cemerlang iaitu Johan Cup Staking dan Tempat Ketiga Poster Digital serta Kolaj Manik Karnival Kebolehpasaran Pendidikan Khas 2024, Pingat Emas Acara 100m dan 200m serta Pingat Perak Acara 100m P19 Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSPs 2023.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyempurnakan perasmian Bengkel Vokasional PPKI yang akan berfungsi sebagai pusat pelaksanaan kemahiran vokasional buat murid berkeperluan pendidikan khas khusus untuk kemahiran tanaman seperti buah Mempelam Harumanis Perlis.

 

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button