Patuhi adab berkomunikasi – Raja Muda Perlis
Madinah, Arab Saudi -Patuhilah adab dan kesusilaan dalam berkomunikasi terutama di alam pekerjaan kelak khususnya dalam prinsip-prinsip yang sewajarnya menunjangi setiap pergaulan.Elakkanlah daripada berkomunikasi dengan cara merendah-rendahkan dan mencaci maki orang lain, janganlah mendedahkan keaiban seseorang atau menyebarkan keburukan seseorang kerana ia tidak dianjurkan oleh agama dan tidak boleh sama sekali menggelar seseorang dengan gelaran yang buruk terutamanya sesama rakan sekerja kerana ianya boleh merenggangkan keharmonian dalam suasana bekerja.Pada masa yang sama, jauhilah dari beprasangka buruk kerana ianya hanya akan mewujudkan perbalahan dan perpecahan semata-mata, dilarang mengintip atau mencari kesalahan orang lain. Ingatlah satu jari yang menunding pada orang lain, maka baki empat jari lagi akan menunding pada diri kita sendiri, serta jagalah tutur bicara kita agar tidak mendatangkan kemarahan kepada orang lain.Demikian titah nasihat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika berkenan berangkat mengadakan pertemuan dengan para pelajar Perlis di Madinah, Arab Saudi yang diadakan di Hotel Intercontinental Madinah Al Munawarah Arab Saudi pada petang kelmarin.Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Yang DiPertua Persatuan Mahasiswa Perlis di Madinah, Luqmanul Hakim Muhamad Jamil.Berangkat sama ialah anakanda-anakanda baginda Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Hj Mohd Nazim Mohd Noor yang turut berkongsi maklumat perkembangan terkini di Perlis seperti Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs), Sekolah Amanah Jamalullail Perlis dan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut mengingatkan supaya setelah tamat pengajian dan bergelar graduan kelak, mereka akan memanfaatkan segala yang telah dicurahkan oleh para pensyarah sama ada ilmu formal atau tidak sebagai panduan terbaik untuk mendepani alam baharu mereka nanti.Adalah diharap universiti masing-masing sudah menyediakan ruang dan peluang yang luas untuk meneroka realiti dunia dan melahirkan graduan bersifat terbuka, bersedia menerima perbezaan, serta memiliki kemahiran mengurus perbezaan dan penyatuan dalam kepelbagaian.Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs kepada para pelajar Perlis di Madinah yang mana masing-masing menerima RM2,000 setiap seorang.