Nasional

Pasukan keselamatan sentiasa siap sedia hadapi ancaman Daesh – Saifuddin

Pasukan keselamatan negara sentiasa dalam keadaan siap siaga dalam menangani sebarang ancaman terutamanya melibatkan elemen kumpulan ekstremis Daesh.

Memetik BERNAMA, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia dapat dilihat melalui kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menahan beberapa individu yang cuba mengembangkan ideologi berkenaan baru-baru ini.

“Elemen Daesh itu masih ada tetapi polis telah berjaya mematahkan cubaan berkenaan menunjukkan bahawa pihak keselamatan dalam keadaan siap siaga sepanjang masa.
“Tangkapan ini juga menunjukkan elemen Daesh ini berada dalam batas ruang di mana pasukan keselamatan mampu tanganinya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tahap keselamatan negara berikutan penahanan lapan individu terlibat dalam ideologi Daesh baru-baru ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan di ibu negara hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan Khairul Anwar Bachok.
Pada Isnin, media melaporkan lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lepas.
Tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang dengan kesemua suspek yang berusia 25 hingga 70 tahun itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button