Bencana alam

Pastikan keselamatan setelah pulang dari PPS

ARAU 8 Okt. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan semua mangsa bencana banjir di Pusat-Pusat Pemindahan Sementara (PPS) agar memastikan terlebih dahulu keselamatan diri dan keluarga apabila pulang ke rumah kelak.

Titah Baginda, adalah mustahak untuk memastikan dahulu kediaman benar-benar dalam keadaan selamat daripada binatang berbisa selain setiap pepasangan dan peralatan elektrik adalah selamat daripada litar pintas.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyantuni mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Guar Nangka, Arau pada malam tadi.

Sebanyak 37 buah keluarga daripada sekitar Kawasan Gial, Padang Nyu dan Guar Gajah di Arau dipindahkan ke PPS berkenaan.

Keberangkatan Baginda disambut Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Haji Ku Chik Ku Mat Isa.

Turut serta mengiringi ,Tuanku Raja Muda ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, DSP Mohd Fauzi Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM5,800 untuk pengurusan awal PPS tersebut.

Sehingga malam tadi, sebanyak 2 PPS dibuka di Perlis ekoran hujan lebat yang melanda Negeri itu selama 2 hari bermula semalam.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button