Sepasang suami isteri warga emas trauma selepas mereka disamun dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal dalam kejadian yang berlaku di Jalan Ikan Emas 11, Taman Megah, Klebang di sini Sabtu lalu.
Kejadian yang pertama kali dilalui oleh pasangan itu menyebabkan mereka mula menjadi takut untuk keluar malam.
Mangsa, Gue Boon Guan, 65, berkata, mereka didatangi dua lelaki sewaktu tiba di hadapan rumah selepas keluar dengan isterinya, Gan Chui Lan, 66 malam Sabtu lalu.
Menurutnya, seorang suspek menggunakan kayu besbol telah memukul cermin kereta di bahagian penumpang ketika isterinya belum keluar dari kereta berkenaan.
“Selepas itu seorang lagi suspek pula cuba menyerang isteri saya namun dia sempat keluar dan mencampakkan beg tangan di halaman rumah,” ujarnya ketika ditemui pemberita di sini semalam yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.
Menceritakan detik cemas itu pesara syarikat swasta itu berkata, suspek terus memanjat pagar rumah untuk mengambil beg tangan manakala seorang lagi telah memukulnya dengan kayu besbol di kaki sebelah kiri.
“Saya cakap dengan seorang suspek tolong jangan apa-apakan kami. Kalau hendak duit saya ada RM400 dan saya beri dompet saya kepada salah seorang suspek,” ujarnya lagi.
Katanya, sejurus suspek berjaya mendapatkan beg tangan dan dompet miliknya, mereka terus melarikan diri selepas anaknya keluar serta beberapa jiran untuk memberi pertolongan.
Jelasnya, dia telah membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga pada malam kejadian tersebut.
Sementara itu, Ban Hong berkata, polis perlu meningkatkan rondaan pada sebelah malam ekoran kekerapan berlakunya kes pecah rumah dan samun di Taman Megah, Klebang dekat sini termasuk kawasan sekitarnya.
Menurutnya, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk yang bimbang dengan keselamatan mereka berhubung kejadian jenayah yang kerap berlaku di kawasan terbabit.
Katanya, jika rondaan polis dapat ditingkatkan ia pasti menyukarkan penjenayah meneruskan niat untuk melakukan kegiatan jenayah.
Ujarnya, kes terbaharu membabitkan pasangan suami isteri warga emas yang disamun dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal berlaku di hadapan rumah mangsa Taman Megah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, dua lelaki menggunakan kayu besbol memukul cermin tingkap kereta Proton Iswara sebelum menyamun pasangan itu sebanyak RM400.
“Mujur pasangan warga emas itu hanya mengalami kecederaan ringan, suaminya dipukul dengan kayu besbol di kaki kiri manakala isterinya luka dipipi terkena serpihan cermin kereta.
“Jika polis melakukan kekerapan rondaan di kawasan sekitar saya yakin penjenayah tidak akan berani untuk melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu lagi.
“Bukan setakat samun, rumah mangsa juga sudah dua kali dimasuki pencuri beberapa tahun yang lalu serta beberapa jiran yang lain,” ujarnya. – SM