Politik

Pas yakin pembangkang tolak Belanjawan 2021 walau isu moratorium, KWSP selesai

PAS menjelaskan sifat pembangkang akan menolak apa sahaja dasar kerajaan termasuklah Belanjawan 2021 yang diumum Menteri Kewangan pada 6 November lalu.

Pembangkang juga didakwa tetap akan menolak sekiranya kerajaan membuat pindaan termasuklah membenarkan pengeluaran duit daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian moratorium automatik.

Justeru, Pas tidak berasa pelik jika pembangkang terus menolak Belanjawan yang dibentangkan oleh Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Saya yakin dan percaya pembangkang tetap juga akan menolak.

“Andainya dalam bajet itu, kerajaan meneruskan bantuan moratorium secara automatik dan membenarkan akaun 1 KWSP dikeluarkan sebanyak RM10,000, adakah mereka akan terima?

“Bukan suatu yang pelik sekiranya PH selaku pembangkang hari ini tidak menyokong Belanjawan 2021 yang buat pertama kalinya dibentangkan di bawah kerajaan PN.

Demikian kata Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad, seperti dilapor portal HarakahDaily hari ini berhubung sokongan pembangkang terhadap Belanjawan 2021.

Terdahulu, dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu, pemimpin pembangkang mendesak pindaan dilakukan sekiranya mahu ia disokong untuk diluluskan.

Bukan sahaja pembangkang, UMNO-Barisan Nasional (BN) turut berpandangan sedemikian dan menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran one-off RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP dan pemberian moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan lagi.

UMNO-BN yang merupakan sekutu Perikatan Nasional (PN) dilihat bersepakat dengan pembangkang supaya kerajaan melakukan pindaan demi kebajikan rakyat.

Mereka juga sepakat mengatakan rakyat berhadapan kerisauan akibat tekanan ekonomi susulan penularan wabak Koroanvirus (Covid-19) yang memasuki gelombang ketiga.

Walau bagaimanapun, Idris menyifatkan tindakan pembangkang akan merugikan negara dan rakyat akan menjadi mangsa apabila Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Malah, beliau mendakwa belanjawan berkenaan sudahpun menyeluruh dan nasib rakyat dalam kelompok B40 adalah terbela.

“Sudah terang lagi bersuluh sikap mereka ini untuk buktikan bahawasanya rakyat bersama dengan mereka.

“Sedangkan tindakan mereka itu (tidak menyokong) yang merugikan (mangsa) adalah rakyat terutama penjawat awam,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button