Pas-UMNO jangan hanyut dengan godaan jawatan, pujian
TERUSKAN perjuangan wahai UMNO dan Pas. Beringatlah, pertahankan permuafakatan nasional sampai bila-bila.
Selagi hayat dikandung badan barangkali mustahil, tetapi andai ada dedalu atau anai-anai yang merosakkan, buangkan lah dengan segera.
Selagi dua parti Melayu terbesar ini yang mewakili 65 peratus orang Melayu masih dengan jalan masing-masing – tidak bersatu – Melayu takkan ke mana. Wal hasil balik asal.
Kedatangan Parti Bersatu ke dalam permuafakatan UMNO-Pas ini anggaplah sebagai bonus – sementara menanti ambang pilihan raya umum ke-15 yang cukup mendebarkan.
Kalau ikut analisis mudah Belang pada PRU 9 Mei 2018, andai Pas-UMNO berkompromi dengan tidak menjadikan persaingan ke tiga penjuru menghadapi Pakatan Harapan, barangkali sekurang-kurangnya 26 kerusi Parlimen milik UMNO terselamat.
Kini, dari 88 kerusi Parlimen UMNO, menyusut ke 54 selepas pilihan raya umum itu, seterusnya kini tinggal lebih kurang bawah 40 kerusi.
Hakikatnya Belang bukan hendak `menyelamatkan’ UMNO, tetapi isunya di sini adalah gambaran lebih makro, yakni survival orang Melayu di tanah air ini.
Adakah Pas sebagai penentu survivalnya? Pun bukan barangkali, tetapi setidak-tidaknya Pas terbukti ada pengaruh, pengundi dan penyokongnya, sehingga menguasai 18 kerusi Parlimen dan dua negeri seperti UMNO.
Demi orang Melayu, Pas dan UMNO mesti duduk duduk berbincang secara terbuka bersama.
Pas-UMNO harus menunjukkan keikhlasan bersama di atas satu pentas. Tetapi jangan sekadar pemimpin peringkat tertinggi sahaja mengambil inisiatif itu. Pengikut, penyokong dan ahli parti masing-masing mesti dimaklum dan diperjelaskan tujuannya.
Kalau tidak, takkan tercapai matlamatnya.
Senang cakap, kalau undi Pas-UMNO tak berpecah dan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus undi bukan Melayu kembali, nescaya kuasa Melayu Pas-UMNO boleh kembali dalam genggaman.
Cuma satu sahaja masalah besar di sini, bukan sahaja sekadar dihadapi Pas dan UMNO tetapi semua parti Melayu, iaitu orang Melayu ini apabila berpolitik terlampau sangat berparti. Orang bukan Melayu berpolitik atas nama bangsa dan tahu sasaran mereka, tetapi Melayu, alahai!
Lihatlah berapa banyak parti Melayu yang tumbuh bak cendawan lepas hujan. Dari UMNO, muncul PKR dan Bersatu, dari Pas, muncul Amanah, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau PUTRA. dan yang terbaharu, `parti tidak bernama’ atau apanama, pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pesan Belang, Pas-UMNO jangan terlalu cepat hanyut dengan godaan jawatan dan pujian. Berpeluang memasuki kerajaan hari ini dengan menyandang jawatan menteri dan timbalan menteri, hanya bersifat sementara.
Dengan kedudukan yang tipis antara blok kerajaan dan pembangkang, bila-bila masa sahaja kerajaan Perikatan Nasional ini boleh tumbang.
Sebab itu Belang cukup terkesan dan tutup `isu Melayu yang sini tak kena, sana pun tak kena’ juga dengan kata-kata hikmat Dr. Mahathir yang tersemat kemas dalam sanubari sebahagian besar bangsa Melayu.
Peringatan itu diluahkan bekas Presiden UMNO itu sendiri semasa ucapan pengulungan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO, 23 Jun 2001.
Ia untuk menyedarkan bahawa sifat negatif itu wujud dalam sistem orang Melayu agar sentiasa beringat, sedar keadaan mereka dan tidak cepat dan mudah selesa.
MELAYU MUDAH LUPA
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai…-SM