KUALA LUMPUR – Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong sepenuhnya pemilihan Datuk Seri Wee Jeck Seng daripada MCA sebagai calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai .
Pengesan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sokongan itu juga adalah selaras dengan persefahaman yang dipersetujui dalam Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas yang ditandatangani pada 14 September 2019 yang lalu.
“PAS yakin pemilihan calon tersebut dibuat berdasarkan kepentingan setempat di Parlimen Tanjung Piai sendiri yang diharap menjadi formula terbaik untuk meraih undi bagi menguatkan suara Pembangkang di peringkat nasional.
“Seterusnya membawa pendekatan politik matang yang tidak melampau,” kata Takiyuddin.
Menurut beliau, PAS juga akan menghantar wakil-wakilnya dalam kalangan pimpinan kanan parti untuk menghadiri Hari Penamaan Calon pada 02 November 2019 sebagai sokongan kepada calon BN.
Semalam BN mengumumkan pencalonan Wee sebagai calon gabungan politik itu bagi PRK Tanjung Piai.
Beliau pernah mewakili Parlimen berkenaan selama dua penggal sebelum tewas pada pilihan raya umum tahun lepas di tangan Dr Md Farid Md Rafik yang mewakili PH-PPBM dengan majoriti kecil.
PH menamakan pemimpin PPBM tempatan Karmaine Sardini sebagai calon. Beliau merupakan bekas bendahari UMNO Tanjung Piai sebelum meninggalkan parti itu untuk menyertai PPBM.
PRK Tanjung Piai diadakan berikut kematian penyandangnya Md Farid pada 21 Septpember lepas berikutan kompilasi jantung.
Pada pilihan raya umum Mei tahun lepas, beliau memenangi kerusi berkenaan mengalahkan Wee dan calon PAS dengan majoriti 524 undi. Beliau mendapat 21,255 undi berbanding Wee (20,731) dan Nordin Othman dari PAS (2,962).- SM