Pas sokong Muhyiddin calon PM PRU-15
PAS menzahirkan kepercayaan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
Kepercayaan itu dizahirkan melalui Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui Facebooknya hari ini.
Menurut Abdul Hadi sokongan Pas terhadap Muhyiddin dan kerjasama dengan gabungan Perikatan Nasional adalah demi keamanan rakyat dan negara.
“PAS menzahirkan dukungan kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan permuafakatan politik Perikatan Nasional demi mensejahterakan negara dan rakyat.
“Pada masa yang sama, PAS menzahirkan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15,” kata Abdul Hadi.
Melalui hantaran di Facebook Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu turut berkongsi gambar pertemuan pemimpin-pemimpin PN bersama Muhyiddin semalam.
Dalam pertemuan itu, Muhyiddin berkata kesemua 12 pemimpin parti dalam Perikatan Nasional menzahirkan sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri.
Mereka turut bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Pimpinan yang hadir adalah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong Presiden MIC Tan Sri Dato’ Vigneswaran Sanasee.
Turut hadir adalah Presiden PBB Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, Presiden SUPP Prof Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian, Presiden PDP Datuk Sri Tiong King Sing, Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup dan Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Whip Kerajaan Perikatan Nasional dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung Bersatu.-SM