Pas akan letak calon di PRN Sarawak
Pas akan meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan berlangsung pada bulan hadapan.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Pas Pusat akan berunding dengan PAS Sarawak pada hujung minggu ini bagi memutuskan jumlah kerusi yang akan ditandingi.
“PAS akan bertanding di Sarawak, dan memutuskan jumlah kerusi setelah perundingan dengan PAS Sarawak pada hujung minggu ini.
“PAS yakin pengundi Sarawak akan memberi undi kepada calon yang diturunkan terdiri daripada anak Sarawak dari pelbagai bidang kepakaran dan ketokohan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh lidah rasmi Pas, Harakahdaily.
Rakan Pas dalam komponen Perikatan Nasional, Bersatu telah memutuskan tidak akan meletakkan calon pada PRN Sarawak.
SPR menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 sementara penamaan calon pada 6 Disember dan pengundian awal 14 Disember.-SM