Papa pergi dengan tenang selepas azan Maghrib – Dr Norzizi
BINTANG filem dan seniman veteran, Datuk Zukifli Zain, 76, telah meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 malam tadi akibat kegagalan fungsi buah pinggang.
Perkara itu disahkan oleh anaknya yang juga seorang pelakon, Dr Norzizi yang memberitahu Allahyarham bapanya meninggal dunia di rumah mereka di Ukay Perdana.
“Pagi esok, jenazah akan dibawa ke Masjid Ukay Perdana untuk dimandikan serta disolatkan.
“Jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Amapang pada Ahad sebelum solat Zohor,” katanya.
Menurut Norzizi, dia bersama adiknya sempat berada di sisi bapa mereka ketika kali terakhir Allahyarham menghembuskan nafas.
“Perkara terakhir yang dia cakap pada saya ialah untuk menggosok belakangnya sebelum dia menunjuk ke arah katil sebagai tanda mahu baring.
“Tak lama kemudian saya dan adik nampak yang nafasnya mula nampak lain macam dan kami mahu membawanya ke hospital.
“Tetapi selepas itu nafasnya kembali tenang dan tak berapa lama selepas itu, dia menyedut nafas dengan perlahan sebelum memejamkan mata dan meninggal dunia,” katanya.
Jelas Norzizi lagi, Allahyarham sudah enam bulan berada di rumah dan doktor pun sudah memberitahu yang keadaannya sebelum ini kritikal kerana kegagalan fungsi buah pinggang.
Norzizi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan artis yang mengucapkan ucapan takziah kepada mereka sekeluarga.
“Kami sekeluarga dapat merasakan kasih sayang yang cukup erat daripada kalangan rakan-rakan artis.
“Saya juga memohon kepada sesiapa yang ada mempunyai hutang dengan Allahyarham untuk berhubung dengan kami sekeluarga,” katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu yang juga seorang seniwati veteran, Normala Omar, lima orang anak dan tujuh cucu.
Selain Norzizi, empat lagi anaknya ialah Norzaza, 38; Norzazila, 36; Norzazleen, 33 dan Noor Zabaiq, 29.
Allahyarham yang juga bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) sebelum ini terkenal menerusi filem Permintaan Terakhir dan Tiada Esok Bagimu. -SM