Pameran Seni Antarabangsa Moricle UPSI beri impak terhadap masyarakat
PAMERAN Seni Antarabangsa Moricle (MIAE) anjuran Kelab Katarsis Seni dengan kerjasama pelajar tahun akhir Kursus Pendidikan Seni dari Fakulti Seni Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK), bersama Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi impak kepada masyarakat dan peminat seni setempat.
Pameran yang diadakan baru-baru ini di Galeri Seni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyaksikan sebanyak 84 karya menarik yang dipamerkan mendapat perhatian pengunjung.
Pameran yang dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Perak Tourism Management Berhad, Datuk Kamil Datuk Shafie itu memberi impak yang besar kepada kemenjadian dan kejayaan program.
Turut hadir Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Kediaman, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan; Dekan FSKIK, Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Zaffwan Idris; Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa (FSKIK), Ts. Dr. Ahmad Nizam Othman; Pengetua Kolej Za’ba, Yusop Ahmad serta Pengarah Institut Peradaban Melayu UPSI, Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said.
Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Badrul Zaman Abdul Jalil; Timbalan Pengarah Bahagian Seni Reka Istana Budaya, Osman Mohamed; Pegawai Pendidikan Daerah, Batang Padang serta seramai 26 orang kenamaan lain daripada pelbagai bidang dan cabang seni tidak melepaskan peluang menyaksikan pameran.
Selain itu, pameran dihadiri tokoh seni arca tempatan yang terkenal dalam arca besi, Raja Shahriman Raja Aziddin, 55, yang turut mengkagumi karya seni yang dipamerkan.
Pensyarah (Penasihat I) UPSI yang juga Presiden Kelab Katarsis Seni, Dr. Norzuraina Mohd Nor berkata MIAE adalah program pameran karya visual 2D dan 3D yang membabitkan penyertaan antarabangsa yang dilaksanakan secara hibrid iaitu secara fizikal dan maya melalui aplikasi artstep dan penggunaan pelbagai laman sosial yang lain.
Beliau berkata kejayaan pameran dibantu oleh 98 pelajar tahun akhir Kursus Pendidikan Seni dari Fakulti Seni Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK) bersama Kolej Za’ba yang sangat komited.
Pameran ini, katanya, menjadi medan perkongsian ilmu pengetahuan dan penghayatan seni terhadap karya yang diekspresikan melalui tema “Kebebasan” selain membuka minda masyarakat tentang perkembangan Seni Visual melalui bidang Pendidikan khususnya di Malaysia.
“Pameran juga ditatap secara langsung dan dalam talian melalui aplikasi ‘ArtStep’dan video pameran maya di saluran youtubeyang mempamerkan keseluruhan karya seni 83 pelukis yang terdiri daripada dua karya jenis arca, satu karya tembikar manakala selebihnya merupakan karya seni halus yang menampilkan ekspresi pelukis terhadap makna ‘Kebebasan’.
Pengarah program, Lyantia anak Lasong berkata MIAE yang turut dihadiri 30 pelajar dari Univesiti Malaysia Terangganu (UMT) itu diilhamkan untuk melestarikan seni dalam kalangan masyarakat bagi meningkatkan minat dan apresiasi masyarakat terhadap karya seni.
Dekan Fakulti Seni Komputeran dan Industri Kreatif, Ts. Dr. Zafwan Idris berkata berharap hasil karya yang terlibat dalam bidang pendidikan dapat dihayati oleh masyarakat menerusi penyampaian mesej sama ada sebagai pengajar, pelajar mahupun penggiat seni di luar kampus.
“Pameran ini menjadi satu medan perkongsian ilmu pengetahuan dan penghayatan seni terhadap karya yang diekspresikan melalui tema kebebasan, “ katanya.
Majlis perasmian dimulakan dengan persembahan daripada Destar Limar dari Pusat Kebudayaan UPSI yang mempersembahkan tarian yang menggabungkan pelbagai budaya dan ucapan Watson Mangor dari Inspired Production serta persembahan hebat deklamator kebangsaan, Lin Haslinaz yang berjaya memukau khalayak penonton pada hari tersebut.