Palsukan tandatangan ADUN, dua ditahan SPRM
SEORANG kontraktor dan bekas penyelia pejabat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki memalsukan tandatangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengemukakan dua tuntutan palsu berjumlah RM39,000.
Menurut sumber, suspek berusia 40 dan 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Klang kira-kira pukul 3.45 petang tadi.
Jelasnya, mereka disyaki memalsukan tandatangan seorang ADUN tersebut dalam borang Kelulusan Pengeluaran Peruntukan ADUN untuk dikemukakan kepada Pegawai Daerah.
>BACA Kemuka tuntutan palsu, dua pengurus syarikat ditahan SPRM – Suara Merdeka
“Borang permohonan tersebut bertujuan untuk tuntutan bayaran melibatkan kerja-kerja pembekalan yang tidak disempurnakan.
“Kesalahan itu dipercayai dilakukan antara April hingga Julai tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
BACA> Wanita Nigeria dipukul, dirogol teman lelaki baru dikenali
“Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” jelasnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada esok pukul 9 pagi untuk permohonan reman. -SM