Nasional
Pakej internet, peranti mampu milik untuk Keluarga Malaysia
Bagi memastikan setiap orang mempunyai akses internet pada kos yang berpatutan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menawarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia
Tempoh mendaftar untuk kedua-dua pakej tersebut adalah mulai 15 Oktober 2021 hingga 15 April 2022 selama enam bulan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, dua pakej mampu milik itu adalah hasil kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi membantu rakyat dalam jangka masa pendek.
Pakej Remaja Keluarga Malaysia, adalah pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah.
Dengan hanya RM10 sebulan, iaitu dibayar untuk 3 bulan/RM30, mereka akan mendapat data 20GB untuk tiga bulan. Pelanggan turut diberikan data 1GB percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari serta Internet asas tanpa had.
“Dengan pakej ini, pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan melayari Internet.
Manakala, bagi data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data.
“Bagi data 20GB pula, ia boleh digunakan untuk aktiviti seperti penurunan video atau permainan dalam talian. Ia boleh membantu pengguna untuk merehatkan diri dengan kebolehan untuk hiburan,” katanya.
Pakej Peranti Keluarga Malaysia pula akan membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan VoLTE secara percuma.
Peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan.
“Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti. Setiap pengguna yang layak boleh melanggan sehingga dua (2) pakej dengan mendaftar kad pengenalan yang sama, ” ujarnya.
Kata Annuar, pakej itu diharap akan membolehkan lebih ramai ahli keluarga mendapat manfaat sempurna daripada pemilikan peranti mudah alih 4G dan VoLTE ini, untuk melengkapkan pengalaman Internet mereka.-SM