Padah jual gelang didakwa mampu cegah Covid-19
SEORANG wanita dikenakan kompaun berjumlah RM50,000 selepas mempromosikan gelang tangan yang didakwa mampu mencegah Covid-19.
Difahamkan, gelang tangan itu dijual dengan harga RM580 dan dipromosikan di laman sosal Facebook.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya telah bertemu dengan wanita itu semalam.
BACA> Rayhan Kabir diusir selama-lamanya dari Malaysia
“Wanita itu ialah seorang ejen sebuah syarikat jualan langsung yang mempromosikan produk gelang tangan itu menerusi laman Facebook miliknya.
“Tindakan wanita tersebut yang telah mempromosikan produk dengan memberi pernyataan yang mengelirukan telah didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10(1)(h), Akta Pelindungan Pengguna 1999.
“Kita telah mengeluarkan kompaun maksimum sebanyak RM50,000 kepada wanita itu dan jika gagal dibayar dalam masa ditetapkan, dia boleh dituduh di mahkamah,” katanya.
Menurut Iskandar, pihaknya akan memastikan pengguna tidak terpedaya dengan promosi atau pernyataan mengelirukan mengenai kegunaan sesuatu produk.
BACA> Palsukan laporan perubatan, dua ditahan SPRM
Tambahnya, semua pihak yang menjual dan mempromosikan produk supaya sentiasa mematuhi
peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan. -SM