Nasional

OSHMP25 ambil kira senario pekerjaan ketika Covid-19

Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25) dirangka dengan mengambil kira senario pekerjaan kini telah berubah berikutan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendemik antaranya menyebabkan ruang rumah setiap ahli Keluarga Malaysia kini berubah menjadi tempat pekerjaan.

“Melangkah ke hadapan, kita perlu mengharungi persekitaran global yang dijangka semakin kompetitif akibat pandemik ini.

“Ia menuntut peralihan secara drastik kepada norma baharu pekerjaan, seperti bekerja dari rumah dengan peningkatan aktiviti dalam talian.

“Melihat dari sudut positif, senario baru ini sebenarnya membuka banyak peluang bagi warga pekerja. Definisi tempat kerja juga akan menjadi semakin kabur apabila pekerja tidak semestinya berada di pejabat,” katanya ketika melancarkan OSHMP25 secara maya hari ini.

Related Articles

Jelasnya, perubahan cara berkerja turut mendedahkan para pekerja kepada risiko keselamatan dan kesihatan seperti masalah ergonomik seperti postur badan ketika menggunakan komputer atau gajet.

Ismail Sabri berkata, pekerja yang terlalu lama terkurung di rumah juga terdedah kepada masalah psikososial terutamanya tekanan mental dan kelemahan interaksi sosial.

Situasi baharu ini menuntut kerajaan mengambil tindakan afirmatif bagi memastikan persekitaran kerja yang sihat, selamat, dan kondusif terus diwujudkan.

Oleh itu, OSHMP25 yang merupakan pelan jangka sederhana menggariskan 7 Teras Strategik menjadi pemacu kepada pembentukan ‘Budaya Kerja Selamat dan Sihat’ dan membantu meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.

Tujuh teras terbabit:

1. Pemerkasaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di sektor awam.

2. Pengukuhan amalan peraturan kendiri di tempat kerja.

3. Penggalakan pendidikan dan penyelidikan KKP.

4. Pemerkasaan kesihatan pekerjaan.

5. Peningkatan pematuhan KKP di sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

6. Pemantapan KKP melalui teknologi.

7. Peningkatan KKP berkaitan jalan raya – Work related Road Safety (WRRS), sektor informal dan pekerjaan masa hadapan.

Ismail Sabri berkata, kesan langsung akibat pengabaian KKP boleh menyebabkan negara mengalami kerugian sebanyak 4% daripada perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun.

Namun apa yang lebih diutamakan kerajaan ialah untuk mengelakkan kehilangan nyawa ahli Keluarga Malaysia.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button