Orang UMNO tolak Pakatan Nasional – Ku Li
ORANG UMNO tidak bersetuju dengan cadangan untuk mendaftarkan Pakatan Nasional sebagai parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) kerana majoriti kerusi adalah milik parti itu.
Ini kerana sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun kerusi Parlimen yang dimiliki oleh Bersatu sekarang sebelum dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) yang ditandingi oleh calon dari UMNO.
Pada wakil rakyat yang menang dengan sokongan akar umbi UMNO ini kemudiannya melompat ke Bersatu yang mana ini menimbulkan kemarahan para penyokong UMNO.
“Orang UMNO tidak setuju (pembentukan PN) kerana kerusi yang sekarang ini diwakili sesetengah mereka yang berada dalam Bersatu, adalah kerusi kita. Dia lompat lari dari kita.. ini bagi orang UMNO di peringkat bahagian, mereka marah betul.
“Mereka bekerja bermati-matian menolong calon UMNO tiba-tiba dia cabut lari, orang UMNO tempatan marah. Jadi, kalau kita bertindak nak memihak kepada apa dituntut oleh Bersatu, saya rasa kita semua akan dihalau oleh orang UMNO,” kata Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah seperti yang dipetik daripada wawancara eksklusif bersama Utusan Malaysia.
Menurut Tengku Razaleigh, akar UMNO masih marah dan kecewan dengan tindakan pemimpin mereka yang melompat masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas BN kalah teruk PRU-14) masih belum reda.
Oleh itu katanya, sebelum merancang untuk mendaftarkan PN sebagai entiti yang akan bertanding pada PRU15 itu, sentimen akar umbi UMNO itu perlu diambil kira.
Jika tidak katanya, pada pemimpin sama ada dari BN, UMNO mahupun PN perlu bersedia ditolak oleh akar umbi.
Katanya, walaupun idea mendaftarkan PN itu masih di peringkat perbincangan, tetapi ramai yang memilih mahu kekal di bawah naungan BN dan menolak sebarang penggunaan logo parti lain.
Tengku Razaleigh berkata, kemarahan akar umbi yang belum reda itu terzahir apabila ada antara mereka masih menolak untuk bersalam dengan bekas pemimpin UMNO terbabit ketika solat Jumaat.
Mengenai soal formula pembahagian kerusi dengan Bersatu pula katanya, ia tidak patut timbul kerana UMNO setakat ini tidak pernah membuat sebarang perjanjian dengan parti di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
“Benda ini tidak pernah bincang. Tetapi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang saya hadir baru-baru ini, ramai menyuarakan pendapat bahawa kita tidak pernah ada hubungan dengan Bersatu.
“Dan kerusi-kerusi ini masih dianggap kerusi UMNO. Pagoh, Muar, Langkawi. Itu semua kerusi UMNO. Kerusi Jerlun pun,” katanya. – SM