BeritaNasional

Orang Melayu wajib pertahan tulisan Jawi

MENJADI kewajipan orang Melayu untuk terus mempertahankan dan kembali kepada bahasa serta tulisan asalnya yang telah dirosakkan oleh penjajah Barat.

Dalam masa sama, kaum lain yang memilih datang ke Tanah Melayu dan telah diberi hak berbahasa mereka sendiri adalah wajib mempelajari bahasa alam Melayu.

Justeru, tegas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kaum lain di negara ini tidak harus bersikap fanatik dengan bahasa asal usul negara mereka dan sengaja berputar melawan arus.

“Ingat bahawa rumpun Melayu yang beragama Islam tidak fanatik, tetapi menjadi hak mereka memperkasakan bahasa Melayu di alam Melayu sehingga telah pun berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan pelbagai kaum, di samping menjadi bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam hantaran Minda Presiden Pas menerusi Facebook bertajuk ‘Jangan Jadi Putar Alam’.

Mengulas lanjut kata Abdul Hadi, usaha menolak pemerkasaan bahasa Melayu adalah agenda penjajah dan ia ditolak rakyat.

“Agenda menolak pemerkasaan bahasa Melayu adalah agenda penjajah dahulu yang ditolak oleh rakyat di sini bersama agenda mengeluarkan penjajah daripada tanah air, bukan sahaja jasadnya termasuk juga segala perancangan yang merosakkan jati diri, khususnya terhadap Islam dan penganutnya.

“Maka, akan tiba masanya kami boleh mengisytiharkan bahawa mereka yang menimbulkan kebencian terhadap bahasa asal Melayu yang membawa kesan pengaruh Islam di rantau ini adalah saki baki penerusan agenda penjajah baharu, musuh yang wajib diisytiharkan jihad terhadapnya,” kata beliau lagi.

Abdul Hadi menyifatkan, golongan yang ‘membenci’ bahasa Melayu dan tulisan Jawi adalah terlampau ekstrem.

Jelas Ahli Parlimen Marang ini, tulisan Jawi berhuruf al-Quran adalah warisan asal bahasa Melayu yang sengaja dirosakkan oleh penjajah  dalam agendanya khusus terhadap umat Islam.

“Namun, penjajah tidak mengacau bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa lain daripada kaum yang menganut agama bukan Islam,” katanya.

Ujar beliau, secara fitrahnya, semua makhluk mengenali kawasan masing-masing, sehingga haiwan yang tidak berakal juga mengenali habitatnya secara tabii.

“Hidupan darat tidak melompat untuk hidup di kawasan air kerana tidak mahu mencari mati. Hidupan laut juga kalau sesat ke sungai air tawar, cepat-cepat pulang ke laut kerana rasa tidak selesa hidup di alam sekeliling yang tidak sesuai dengan kejadiannya.

“Umat Islam yang diajar kuat berpegang dengan ajaran Islam, sangat menghormati perbezaan yang tidak boleh dipaksa kepada kejadian manusia, walaupun manusia berlainan hidup bersama dalam bermasyarakat majmuk. Inilah sifat yang masih ada dalam diri bangsa Melayu beragama Islam dan menjadikan mereka tidak fanatik perkauman,” katanya.

Tegas beliau, kaum lain wajar menghormati dan mengenang budi terhadap keizinan bangsa Melayu yang berpijak dahulu di alam Melayu ini.

“Umat Islam dilarang mencari musuh, bahkan digalakkan berdamai. Tetapi kalau dipaksa berrmusuh, maka diharamkan berundur,” jelasnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button