Politik

Orang Melayu Islam tidak sabar tunggu Mahathir keluar PH

SUARAMERDEKA: TIDAK pelik apabila ADUN Sungai Pelek mula menyerang Tun Dr. Mahathir. Ronnie Liu yang merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP melalui portal lidah rasmi parti itu Malaysiakini membuat pelbagai tuduhan terhadap Perdana Menteri.

Jika dilihat sejarah panjang hubungan Mahathir dengan DAP memang tidak pernah baik. Mahathir sejak puluhan tahun lalu memang menganggap DAP serta para pemimpinnya khususnya Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sebagai musuh. Namun oleh kerana mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) beliau sanggup bekerjasama dengan parti cauvanis Cina itu demi menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak atas pelbagai alasan terutama demi menyelamatkan negara daripada dimusnahkan oleh pemimpin yang korup.

Artikel tulisan Ronnie yang menggambarkan Mahathir sebagai harimau kertas sahaja, seolah-olah mahu menunjukkan jalan keluar pemimpin parti Bersatu itu daripada Pakatan Harapan (PH). Mahathir dianggap semakin lemah dan tidak lagi berguna setelah membantu kemenangan PH pada pilihan raya lalu.

Kenyataan itu menyebabkan ADUN Jeram Mohd Shaid Rosli berang dan mencabar Ronnie mencadangkan kepada Majlis Presiden PH untuk membuang Bersatu dari gabungan itu.

ADUN Bersatu itu mengeluarkan kenyataan keras tersebut berkata sebagai mengkritik kenyataan Ronnie sebelum ini yang menyifatkan PH akan tetap berjaya tanpa Bersatu.

Ronnie memberi contoh tindakan Dr. Mahathir menerima bekas pemimpin UMNO dalam Bersatu, selain mempersoalkan berhubung ketiadaan tarikh jelas peralihan kuasa perdana menteri.

Mohd Shaid menyelar kenyataan sedemikian sebagai “keterlaluan dan sudah melampaui batas” sehingga boleh menjejaskan hubungan dan kerjasama antara parti di dalam PH.

Sebagai balasan Mohd Said juga berkata Dr Mahathir dapat membina “kerajaan Melayu Islam” baru tanpa DAP.

Isu ini menjadi panas apabila Datuk Seri Azmin Ali dituduh menggerakkan pembentukkan kerajaan baharu bersama pemimpin UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, walaupun perkara itu dinafikan oleh kedua-dua individu berkenaan.

Keretakan hubungan Dr. Mahathir dengan pemimpin DAP, bahkan para pemimpin Melayu lain di dalam PH kecuali pemimpin Amanah sebagai mana dibangkitkan oleh Mufti Perlis, Datuk Seri Mohd Asri memang dapat dilihat dalam pelbagai isu dan yang paling ketara melibatkan pendakwah Zakir Naik.

Kemuncaknya apabila Perdana Menteri hadir pada Kongres Maruah Melayu yang dihadiri sebahagian pemimpin Melayu PH dan parti lain seperti UMNO serta Pas yang memberi gambaran inilah bentuk kerajaan Melayu Islam yang akan dibentuk oleh Mahathir.

Rata-rata orang Melayu dahulunya menyokong PH kecuali penyokong DAP, kini lebih mendiamkan diri kerana kecewa dengan kegagalan kerajaan hari ini menjaga kepentingan mereka, sebaliknya melebihkan kepada kaum minoriti. Tindakan berat sebelah itu dirasakan sebagai membalas dendam kepada orang Melayu. Mereka tidak sabar untuk menunggu sehingga pilihan raya akan datang dan mahu kerajaan baharu dibentuk melalui penggabungan parti-parti Melayu dan Islam.

Kempen Buy Muslim First (BMF) yang dijangka tidak akan bertahan lama, kini berjalan dengan semakin aktif tetapi lebih banyak menggunakan media sosial. Oleh kerana terasa kuasa politik semakin terancam dan ekonomi Melayu semakin terhimpit gerakan itu mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

Pada usia yang semakin lanjut Dr. Mahathir pastinya sedar masa beliau semakin singkat dan tentunya beliau tidak mahu meninggalkan legasi sebagai pemimpin yang mengkhianati bangsanya sendiri apabila menggadaikan negara ini kepada bangsa lain sehingga bangsa sendiri dipijak dan disepak bagaikan sampah.

Inilah peluang Dr. Mahathir. Beliau hanya perlu tampil dan menyatakan kini orang Melayu telah melihat wajah sebenar pemimpin DAP serta konco-konconya dan telah tiba masanya Melayu Islam bersatu serta membentuk kerajaan baharu.

Orang Melayu akan mengenang jasa Dr. Mahathir kerana membuka mata mereka dan akhirnya mampu bersatu untuk satu perjuangan, berbanding sebelum ini sering bercakaran sesama sendiri.

Isyarat telah diberi oleh Dr. Mahathir, kini orang Melayu hanya menunggu lampu hijau atau memetik jari seperti Thanos di dalam filem Avengers End Game dan para pejuang akan bergabung menggerakkan jalan yang telah dirintis oleh Dr. Mahathir.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button